Kelonggaran kepada peniaga semakin diberikan kelonggaran di bawah arahan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dilangsungkan di Malaysia sejak bulan Jun lalu. Sebanyak 11 jenis perniagaan akan dibenarkan untuk dibuka semula di negeri-negeri Fasa 1 bermula esok, 16 Ogos 2021.
Keputusan itu telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah berbincang dan menganalisa risikonya dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri serta pakar dalam sektor-sektor berkepentingan.
Salah satu daripada jenis perniagaan yang mendapat perhatian ramai warganet adalah kedai gunting rambut. Saban hari, ada saja posting baharu di media sosial yang mengeluh mengenai stail rambut mereka yang – jujurnya – ibarat mullet dah.
Pastinya korang juga boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi meminta ahli keluarga atau rakan serumah untuk memotong rambut. No more uneven hairline!
Selain kedai gunting rambut, jom lihat 10 lagi jenis premis yang dibenarkan beroperasi semula dalam Fasa 1 ini:
- Kedai cuci kereta
- Kedai elektrik dan elektronik
- Kedai barangan rumah dan peralatan dapur
- Kedai perabot
- Kedai peralatan sukan
- Kedai aksesori kereta
- Pusat pengedaran dan jualan kereta
- Pasar pagi dan pasar tani. (Tidak termasuk pasar malam)
- Kedai pakaian, fesyen dan aksesori
- Kedai barang kemas
- Kedai gunting rambut dan salun kecantikan (Hanya perkhidmatan gunting rambut asas saja yang dibenarkan. Perkhidmatan lain seperti urutan tidak dibenarkan)
Sudah tentu, bagi sebelas jenis premis ini, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat harus dipatuhi – sama saja seperti semasa ia pernah dibuka pada musim pandemik ini.
Antaranya termasuklah tidak boleh menggunakan bilik salin pakaian (fitting room) dan pekerja perlu memakai sarung tangan (di kedai gunting rambut dan salun kecantikan).
Selain itu, para pelanggan yang memasuki premis juga perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang tertera dalam apikasi MySejahtera mereka. Ini kerana hanya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap saja yang dibenarkan memasuki premis.
Vaksinasi lengkap di sini bermaksud individu tersebut telah menerima suntikan dos kedua 14 hari yang lalu atau lebih (bagi vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) . Bagi individu yang menerima vaksin jenis satu dos seperti Johnson&Johnson pula, mereka haruslah telah melepasi tempoh 28 hari selepas suntikan.
Kelonggaran terhadap 11 premis perniagaan ini juga bergantung kepada kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di sesebuah negeri. Negeri tersebut perlu mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kadar vaksinasi lengkap (dos kedua).
Setakat 14 Ogos semalam, negeri yang telah mencapai kadar 50 peratus tersebut ialah WP Labuan (88.1%), Sarawak (79%), Lembah Klang (64.7%), Negeri Sembilan (61.3%) dan Perlis (52.7%).
Maka di negeri-negeri ini yang masih berada dalam Fasa 1, kelonggaran ini boleh berkuatkuasa mulai esok.
Apapun, pastikan peniaga dan pelanggan semua mengikut SOP yang ditetapkan okay! Ingat, kita masih belum memenangi ‘peperangan’ menentang wabak COVID-19 lagi.
Kenyataan Media berkenaan Kemudahan Sektor Ekonomi (Vaksinasi Lengkap)
(1/2) pic.twitter.com/iUWuS1Sya7
— Muhyiddin Yassin (@MuhyiddinYassin) August 15, 2021