Sebagai seorang muslim, mandi wajib atau mandi junub merupakan perkara yang wajib diketahui dan dipelajari bagi membersihkan diri daripada hadas besar.
Namun, entah mana silapnya, ada di antara kita yang mengambil mudah mengenai hal ini kerana seakan sudah dimomokkan bahawa mandi wajib merupakan satu perbuatan yang renyah dan menyusahkan.
Tanggapan tersebut disangkal oleh pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal dan menjelaskan bahawa mandi wajib merupakan rutin yang sangat mudah.
Menurut Ustaz Don, seseorang itu tidak perlu untuk ‘tunggang terbalik’ ketika mandi wajib. Sebaliknya, cukup sekadar meratakan air di seluruh anggota badan tanpa perlu merasa was-was.
“Pertama sekali kita kena ingat, mandi wajib ini kategori dan syaratnya bukan yakin. Dia tak macam wudhu’. Kalau wudhu’ kena yakin.
“Mandi wajib ini kena zon (sangkaan) sahaja. Kita sangka air itu kena bahagian tubuh badan. Macam itu sahaja,” katanya menerusi satu perkongsian video di laman Instagram Suria FM.
Lantaran itu, Ustaz Don berharap agar orang ramai tidak merumitkan lagi apa-apa perkara melibatkan mandi wajib selepas ini.
“Mandi wajib syaratnya bukan yakin. Kalau yakin, kita kena nampak. Sebagai contoh, bila kita ratakan air di bahagian tangan untuk ambil wudhu’, kita akan nampak perbuatan itu.
“Kalau kita mandi, bahagian belakang badan, macam mana nak tengok. Jenuhlah kita nak tengok cermin. Takkan bahagian bawah (kemaluan) pun kita nak letak cermin.
“Kita ratakan air di seluruh badan mengikut kemampuan tangan. Dah kena seluruh anggota, dah kira selesai. Jadi, tak payahlah nak mandi lama-lama. Laju saja mandi wajib ni.
“Tiadalah sampai nak kena terbang-terbang, merangkak atau bersilat,” jelasnya lagi.
Semoga pencerahan ini dapat menangkis segala stigma yang mengatakan mandi wajib itu rumit dah memakan masa.
Ingatlah, orang yang berhadas besar akan terhalang daripada melaksanakan ibadah fardhu seperti solat, berpuasa, dan bertawaf.
Malah, mereka juga diharamkam menyentuh Al-Quran dan membacanya.
Hadas besar boleh terangkat dengan mandi wajib. Jadi, buatlah dengan betul. ‘Simple’ sahaja, ikut cara yang telah diterangkan oleh Ustaz Don ini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Suria FM & Ustaz Don Daniyal