Tak Sampai Sebulan Lancar ‘Dah Panas’! Pengguna Mula Mengadu Tentang Model iPhone 15 Meski Berharga Kayangan

Share

Pelancaran model telefon pintar terbaru keluaran Apple, iPhone 15 baru-baru ini telah menarik perhatian ramai pengguna setia jenama tersebut untuk beralih ke model terbaru itu.

Namun, tidak kurang juga sebilangan daripada penggunanya yang telah melancarkan beberapa aduan sejak menerima model iPhone 15 masing-masing. Antara yang paling kerap didengari adalah bagaimana model tersebut pantas menjadi panas sewaktu ia digunakan.

Apple pada 30 Oktober lalu telahpun mengenal pasti beberapa isu yang menyebabkan model iPhone 15 cenderung menjadi panas lebis pantas daripada yang disangka selepas penggunaan. Ini termasuklah isu ‘bug’ atau pepijat di dalam perisian iOS 17 dan berkata isu tersebut akan ditambah baik dalam kemas kini seterusnya oleh Apple.

Menurut Apple lagi, isu ini mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari terawal penggunaannya selepas ia dibuka daripada kotak. Ia juga menjadi panas kerana beberapa aplikasi sedang beroperasi menjalankan ‘tugasan yang berat’ sewaktu pengguna mengisi semula kandungan peranti (restoring the device).

Untuk pengetahuan, isu telefon panas hanya melanda pengguna iPhone 15 manakala pengguna iPhone 15 Pro dan Pro Max tidak pula menghadapinya.

Ini memandangkan reka bentuk bekas titanium baharu (iPhone 15 Pro dan Pro Max) yang digunakan boleh menghasilkan pelepasan haba yang lebih baik berbanding model keluli tahan karat (iPhone 15).

Isu model iPhone 15 menjadi panas ini mula hangat (pun intended) diperkatakan setelah tular video penggunanya yang menunjukkan model iPhone 15 Pro mencecah suhu sekitar 42 darjah Celsius.

Malah, ada juga kes dimana model iPhone 15 mereka menjadi terlalu panas sehingga tidak boleh dipegang selepas penggunanya membuat panggilan video secara FaceTime selama dua minit atau selepas pengguna melayari Instagram Reels selama lapan hingga 10 minit.

Itu belum lagi isu telefon panas semasa mengecas walaupun pengguna membiarkan telefon dicas tanpa menggunakannya pada waktu yang sama.

Isu telefon panas ini bukan sahaja mengakibatkan pengguna tidak selesa dengannya, bahkan ia boleh menjurus kepada masalah kesihatan sekiranya ia berlarutan setiap kali menggunakan telefon pintar mereka.

Apple dalam pada itu menjamin sebarang penambah baikan pada pepijat iOS 17 kelak tidak akan mengurangkan prestasi, sebaliknya ia hanyalah usaha untuk menangani isu suhu panas iPhone.

FOTO HIASAN: APPLE

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ