Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob memaklumkan dirinya kembali bergelar mahasiswa dengan menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan Universiti Oxford & Dikenali Sebagai Ahli Bahasa, 10 Fakta Raja Permaisuri Agong, RAJA ZARITH SOFIAH
Dalam hantaran di media sosial, bekas Naib Presiden UMNO itu memaklumkan, sudah menerima kad pelajarnya.
“Alhamdulillah hari ini dapat kad pelajar. Rasmi, hari ini saya jadi pelajar. Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar.
“Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” katanya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi gambar kad matrik menerusi hantaran di media sosial.
Menurut sumber Berita Harian, Ismail, 64 adalah graduan jurusan undang-undang di Universiti Malaya kemudian menjadi peguam pada 1985 sebelum menceburi arena politik dua tahun selepas itu.
Difahamkan, bekas pegawai kanannya, Kamarul Zaman Yusoff yang juga pensyarah kanan universiti itu akan menjadi penasihat tesisnya.
Beliau akan menyediakan tesis berhubung tindakan yang diambil negara dalam menangani wabak COVID-19 dan sudah membentangkan cadangan penyelidikan untuk ijazah doktor falsafahnya (PHD).
“Tesis saya mengenai tindakan Malaysia dalam memerangi COVID-19.
“Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai antara negara yang terbaik dalam memerangi COVID-19,” katanya.
Ismail berkata, tiada satu pun negara yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan wabak itu kerana ia kali pertama melanda dunia.
“Saya berharap dunia dapat melihat bagaimana pengalaman dan tindakan Malaysia memerangi COVID-19,” katanya lagi.
Perkongsian Ismail Sabri itu mendapat maklum balas positif netizen dengan rata-ratanya kagum dan mengucapkan tahniah kerana menyambung pengajian.
“Tahniah Datuk Seri. Pembelajaran tiada had, dari buaian hingga ke liang lahad,” komen seorang warganet.
“Semoga Datuk Seri akan terus berjaya dalam karier sebagai ahli politik,” tulis netizen lain.
“Semoga berjaya Datuk Seri. Bangga kad matrik kita sama,” seloroh seorang pengguna.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO/ARTIKEL: BH