Tak Sia-Sia Menyanyi ‘Terbalik’, Naim Daniel diiktiraf Malaysia Book of Records

Share

Tuah Ayam Nampak di Kaki, Tuah Manusia Siapa Yang Tahu

Meskipun gagal meraih sebarang piala di Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37), penyanyi dan pelakon popular Naim Daniel berjaya mendapat tempat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai individu pertama yang menyanyi secara terbalik dalam persembahan langsung di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul, Naim Daniel & Haqiem Rusli Pertaruh 2 Lagu Di Pentas AJL – 36

Persembahan Naim Daniel dalam keadaan terbalik dan tergantung selama tiga minit di pentas AJL yang lepas.

Penyanyi berusia 26 tahun itu meluahkan rasa kesyukurannya di akaun media sosial beliau malam semalam dan menganggap bahawa pengiktirafan itu sebagai satu pembukaan yang baik buat dirinya sempena bulan Ramadan tahun ini.

“Terima kasih diatas sokongan dan cinta kalian semua yang telah menyokong kerjaya saya dari awal hingga ke hari ini.

“Hari ini, satu lagi sejarah tercatat untuk perjalanan saya sebagai anak seni, dan ianya takkan berhenti disini, selagi saya menghirup nafas daripada semangat dan doa yang kalian berikan.

“Saya hadiahkan kejayaan ini buat semua anak seni yang sentiasa berani dalam mencuba,” tuturnya menerusi kemas kini di laman Instagram beliau.

Pada AJL yang lepas, pelakon Project High Council itu menyanyikan lagu “Mainan” yang ditulis dan digubah sendiri oleh Arisz Abdul Rahman, Firdaus Rahmat, Omar K, dan Mas Dewangga, sambil digantung dari kabel yang melekat pada kaki dan badannya.

Persembahan yang digelar paling ‘gila’ dan ‘berani mati’ oleh tuan badan itu sendiri ternyata membuahkan hasil. Bukan sahaja ianya diterima dan disukai oleh para peminat, pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) ini juga membuktikan bahawa kreativiti dalam berkarya adalah satu perkara yang penting dan dihargai.

Sijil pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) kepada penyanyi tersebut.

Namun ujar penyanyi muda itu, beliau berharap agar orang ramai tidak mengulangi aksi lagak ngeri yang dilakukannya ketika mempersembahkan lagunya di Anugerah Juara Lagu (AJL) yang lepas. Menurut beliau juga, sebelum persembahannya yang tular itu berlangsung, tahap pernafasannya dipantau rapi dan paramedik juga ditugaskan untuk berjaga-jaga bagi memastikan keselamatannya.

Sehingga kini, klip muzik video ‘Mainan’ telah meraih hampir 1.4 juta tontonan dan 23,000 tanda suka di laman akaun Youtube beliau. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan!

BACA LAGI: Asalkan Aina & Shiha PUAS! Nilai Persembahan Kurang 5 Minit Di AJL Boleh Cecah RM100,000

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Naim Daniel, Berita Harian

Published by
Team Remaja