Laman media sosial Twitter secara umumnya lebih popular digunakan oleh generasi muda terutamanya millenials. Selain mencari hiburan sampingan dengan pelbagai reaksi balas isu terkini dengan meme, gif dan pelbagai respons satira, di sinilah tempat mereka meluahkan apa yang terbuku di hati.
Dan apa yang Remaja perhatikan di ruang Twitter jugaklah kebanyakan artis yang cukup berkaliber menggunakannya untuk meluahkan pendapat mereka terhadap apa jua subjek. Sama ada subjek itu boleh kita anggap mempunyai elemen diskusi yang baik atau tidak itu perkara nombor dua.
Semalam, aktor yang cukup Remaja kagumi iaitu Beto Kusyairy, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin (2015) telah berkongsi rasa kecewanya terhadap trend yang telah dikitar semula oleh pembikin drama dan filem tempatan menerusi akaun Twitter miliknya.
Jelas Beto, sampai bilakah lagi penonton perlu disuap dengan kisah cinta berbeza darjat dan kahwin paksa untuk selamatkan empayar perniagaan. Kalau kita perhatikan trend ini telah berlanjutan selama mana yang kita ingat drama TV bersiaran.
Tambahnya lagi, dia juga sering ditawarkan dengan sinopsis dan skrip yang menggunakan idea sama berulang kali – cuma bezanya hanya pada nama karakter dan mungkin sedikit jalan cerita.
Mungkin penggemar drama begini boleh tampil dengan hujah bahawa di mana ada demand, di situ ada supply. Ya, mungkin tapi sebagai pengkarya mereka perlulah lebih bebas dan terbuka untuk memberikan sesuatu yang berbeza. Bukan hanya mengitar semula idea sama dan berlegar pada kepompong jumud itu sahaja. Inilah juga kekecewaan sebenar yang disuarakan oleh Beto. Pokok pangkalnya ialah content kerana dengan content drama atau filem yang baik ia pasti diterima ramai.
Dari sudut pembikin drama atau filem mereka mungkin tidak mahu mencuba sesuatu yang baru atau lebih berani kerana risau ia tidak mendapat sambutan. Ini juga satu hal yang menyukarkan posisi mereka selaku pemain utama industri lakon layar.
Artikel Berkaitan: 23 Nama Selebriti Malaysia Yang Mungkin Korang Tak Tahu
Sebelum ini kita pernah saksikan banyak filem berkualiti yang tidak mendapat sambutan contohnya ‘Bunohan’, ‘KIL’, ceo’ dan ‘Lelaki Harapan Dunia’. Ketiga-tiga filem hebat ini tampil dengan jalan cerita yang berbeza, unik dan tidak bergantung harap pada tema cinta, komedi dan aksi sahaja.
Namun begitu, masih ada juga filem yang bukan berlegar kisah cinta mendapat sambutan luar biasa seperti ‘Ola Bola’, ‘Tombiruo’,’Munafik’ dan malahan filem animasi ‘Boboiboy’ yang mencatatkan jumlah kutipan lapan angka!
Jadi untuk mengatakan peminat tempatan hanya gemarkan kisah-kisah cinta sahaja itu tidak tepat sama sekali. Mungkin itu dari segi filem dan berbeza untuk drama. Beto juga menyatakan keluhan yang kebanyakan artis memang tidak berkenan dan berdaya sebab masing-masing perlu bekerja demi kelangsungan hidup.
Follower Beto turut menyatakan kekecewaan mereka dan berkongsi pendapat tentang perkara ini. Rata-rata mereka mahukan karya yang lebih ilmiah, mampu membuat penonton berfikir, explore genre berbeza, elemen misteri dan juga fantasi.
Tapi sebenarnya sinar untuk drama tempatan berkualiti sudah ada. Contohnya drama-drama arahan Razaisyam Rashid (Pengarah Terbaik Anugerah Skirn 2016) yang muncul dengan drama ‘Kekasih Elektrik’, ‘Fatin’ ‘Gadis Kosmos’ dan yang terbaru ‘Mandatori’. Kesemua karyanya ini mungkin tidak berada dalam radar penonton arus perdana namun bagi penggemar drama yang unik inilah contoh karya yang mereka mahu.
Mungkin industri kita boleh mencontohi industri perfileman dan drama Korea Selatan. Ada sesetengah pihak bila sebut sahaja nama Korea mereka akan membuat muka dan jelik – sering mengaitkannya dengan budaya popular K-pop. Hakikatnya, Korea merupakan antara pengeluar filem dan drama yang sangat diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Malah sudah banyak karya filem dan drama mereka diadaptasikan oleh produksi Hollywood. Pada tahun lalu drama bersiri dari Amerika Syarikat, ‘Somewhere Between’ merupakan adaptasi daripada drama popular Korea, ‘Good Doctor’.
Kepelbagaian content yang dihasilkan di Korea juga membuatkan penggemar dramanya tidak bosan kerana mereka sering ‘dijamu’ dengan jalan cerita berbeza-beza. Jika drama cinta sekalipun mereka akan tonjolkan elemen komedi, situasi sebenar tempat kerja dan lebih realistik. Bukanlah hanya tertumpu kepada kisah cinta terhalang semata.
Jika suatu masa dahulu drama kisah-kisah keremajaan cukup mendapat tempat di stesen televisyen utama tempatan seperti ‘KAMI’ dan ‘Dunia Baru’ dan ia ditayangkan untuk slot waktu perdana. Tapi kini agak sukar untuk kita menyaksikan drama-drama begini. Mengapa? Adakah golongan remaja sudah meninggalkan ‘TV’ dan hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap Internet?
Tidak juga kerana ramai antara remaja merupakan penonton setia drama-drama Korea dan saluran streaming seperti Netflix, iFlix dan VIU. Saluran bukanlah masalah utama tetapi (seperti yang Beto perkatakan di atas) content yang pelbagai dan berkualiti!
Bagaimana dengan pendapat korang? Apakah jenis drama atau filem tempatan yang korang mahukan sebagai seorang remaja?