Pejam celik pejam celik, sudah hampir sebulan kita berpuasa. Hanya tinggal lebih kurang 5 hari lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma. Mesti semua tengah teruja untuk membuat persiapan kan?
ARTIKEL BERKAITAN: Senarai Produk Mekap Wajib Beli Jika Nak Selfie Sakan Pagi Raya!
Maklumlah raya kan disambut setahun sekali. Mestilah anda nak tampil kelihatan menawan, anggun dan jelita di pagi Raya. Namun baru anda perasan, ada beberapa barang yang tidak dibawa sekali ke kampung halaman. Haduih habis spoil mood….
Takpe, usah risau dan cemas kerana kami ada menyediakan checklist barang yang perlu dibawa. Nampak macam remeh dan tak penting barang-barang ini, tapi kalau takde habislah persiapan OOTD di pagi raya anda akan kecundang.
KERONGSANG DAN JARUM PENITI
Baju dah lawa, mekap dah meletop tapi sampai dekat bahagian tudung, nampak selekeh dan serabai. Jadi pastikan anda bawa kerongsang dan jarum peniti yang mencukupi. Bawak lebih pun takpe, maklumlah sampai di sana mesti akan ada sanak saudara yang mahu pinjam. Pastikan juga kerongsang yang dibawa masih elok dan tidak berkarat sebab nanti habis rosak tudung raya anda yang mahal tu.
Jarum peniti pun pastikan yang tajam dan panjang. Barulah tudung anda akan elok terletak sepanjang hari. Maklumlah kaum hawa ni kan sensitif sikit, kalau tudung tak on point, terus takde mood nak bergambar dan beraya sakan.
INNER BAJU DAN KAIN DALAM
Haaaa nampak macam remeh tapi kalau anda tak bawa dua item wajib ni, memang haru biru pagi raya anda. Baju kurung kadang ada yang jarang dan nipis terutama kalau material viscose. Sekarang kan tengah trend baju kurung kaftan viscose.
Maka, pastikan anda bawa inner baju yang sesuai dan kain dalam. Takdelah isu nampak baju dalam atau terselak nampak kaki. Beraya di kampung kenalah sopan dan ayu, barulah selamat dari umpatan makcik-makcik bawang, hiks.
SELIPAR
Kalau anda taknak ada isu berebut selipar di kampung, pastikan bawak selipar masing-masing tau. Kadang kita asyik utamakan kasut raya yang cantik-cantik sampai terlupa kepentingan selipar dalam beraya di kampung.
Nanti pagi raya, mesti anda akan pergi solat sunat raya di surau berdekatan kan? Haaa… takkan nak pakai kasut tumit tinggi 3 inci pulak pergi surau. Risau nanti anda tergolek depan tok imam. Jadi pastikan bawa selipar yang selesa dan mudah disarungkan supaya senang nak berjalan pusing kampung terutama kalau nak pergi kedai runcit depan rumah untuk membeli ais.
UBAT-UBATAN
Cuaca yang tak menentu sekarang amatlah merisaukan, terutama dari aspek kesihatan. Demam, pening kepala dan sebagainya antara perkara yang akan membantutkan semangat kita untuk beraya. Maka, bawaklah ubat-ubatan seperti ubat demam, selsema, batuk dan minyak angin.
Maklumlah setelah sebulan berpuasa, tiba-tiba perut anda di isi dengan pelbagai jenis makanan. Jadi pastikan anda bawa sekali minyak angin dan ubat Pil Chi Kit Teck Aun bagi mengelakkan isu perut tak selesa dan berangin.
PENYANGKUT BAJU
Baju raya dah digosok rapi tapi tiada penyangkut untuk digunakan? Ini lah masalah yang sering terjadi di pagi raya. Maklumlah sanak saudara ramai, habis semua stok hanger
dikebas.Kalau anda menginap di homestay atau hotel pun, sering terjadi isu penyangkut baju yang tidak mencukupi. Maklumlah, baju raya ahli keluarga terlampau banyak. Tak masuk lagi tudung dan samping yang perlu digantung juga. Jadi untuk mengelakkan isu bermasam muka sesama ahli keluarga sebab berebut hanger, bawaklah penyangkut baju dari rumah siap-siap.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
IHSAN FOTO: Kosmo, Pexels