Kita biasa mendengar tentang scammer. Malah kes melibatkan beberapa individu yang ditahan kerana terlibat dalam penipuan ini hangat diperkatakan dalam media sosial. Ini termasuklah kes salah seorang tahanan melarikan diri dengan melompat pagar ketika berada di dalam bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Apa yang menakutkan, menurut data dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk enam bulan pertama tahun 2020 ini sahaja, jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan scam meningkat kepada RM914 juta. Satu jumlah yang sangat besar dengan penipuan di dalam talian mencatatkan jumlah penipuan paling tinggi dilaporkan.
Menurut Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar menjelaskan aktiviti scammer ini begitu berleluasa dan begitu ketara bagi tahun 2020 ini. Pada Disember 2019, Jabatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan jumlah nilai kerugian adalah sebanyak RM769 juta bagi tempoh tiga tahun berbanding RM914 bagi enam bulan pertama hingga Jun 2020, satu peningkatan yang begitu ketara.
Satu carian REMAJA di fb mendapati scammer kini menggunakan taktik terkini dengan mengiklankan di fb iaitu mereka mencari individu yang mahu menyewakan akaun bank dan ATM kad bagi pengguna yang mahukan duit segera.
Mereka sanggup membayar di antara RM100-RM300 setiap minggu bagi mereka yang mempunyai akaun bank di Maybank, CIMB, Hong Leong, RHB dan Public Bank.
Jika kita benar-benar terdesak dengan duit dan memikirkan akaun itu memang kosong, kita pasti akan menghubungi nombor tertera,betul tak?
Di sebalik isu duit yang menjadi fokus utama rakyat masa kini yang agak terdesak kerana dibuang kerja dan sebagainya, tapi tahukah korang, dengan memperoleh sewaan duit tak seberapa ini, korang bakal menghuni penjara walau kita tak lakukan apa kesalahan jenayah pun.
Taktik menyewa akaun ini disebut sebagai Mule Account atau pun Akaun Bank Kaldai di mana scammer ini memberikan duit atas sewaan bank untuk membolehkan scammer ini memperoleh duit yang berjuta dengan menjadikan akaun korang sebagai “pengantara”sebelum duit dipindahkan ke pihak ketiga yang agak susah untuk pihak berkuasa mengesannya.
Tahukah, apabila kita memberikan sewaan akaun bank dan atd kad, kaldai akaun ini boleh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan wang secara haram dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki barangan curi dan pastinya hukuman penjara menanti. Jadi hati-hati ya, jangan kerana duit, korang terperangkap dan menangis bila dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang korang tak buat. Sumber gambar : AFP