Taktik Terkini! Kali Ini Scammer Call Nak Beri Bantuan PRIHATIN Pulak, Sasar Golongan Berusia

Share

Tidak penat makan duit haram! Walau tahu perbuatan itu salah malah ada sebahagian pekerjanya adalah beragama Islam kegiatan scammer tidak pernah serik. Mereka sentiasa menyasarkan pelbagai peringkat golongan termasuk ada ketikanya menghubungi pegawai polis sendiri (kemudian mengaku mereka juga polis) kerana panggilan dibuat secara random.

Terkini, sejak tabung Bantuan Prihatin dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak Rm250 bilion menyasarkan kepada semua golongan, kegiatan scammer juga semakin aktif.  Mereka tahu ramai yang tidak celik IT malah terutama golongan tua. Pendedahan peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co bahawa ibunya turut dihubungi scammer yang kononnya nak beri bantuan tabung Prihatin patut kita jadikan teladan.

PM mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion untuk manfaat kepada semua golongan akibat wabak COVID-19.

Tolonglah ajar mak ayah kita agar tidak mendedahkan sebarang akaun bank pada pihak tidak dikenali. Tolong educate mak ayah kita mengenai kejahatan scammer ini agar mereka tak jadi mangsa.

Baca perkongsiannya ditulis olehnya.

Pagi tadi ada orang hubungi mama. Lembut dan manis suaranya, katanya dari kerajaan dan panggilan ini berkaitan dengan “Puan umur berapa yang puan?”
Jawab mama 68 tahun.

Maka mulalah, si scammer ini main peranan. Sasaran mereka pastilah orang yang lebih tua, golongan pesara, tidak celik IT. Dengan orang tua, mungkin mereka rasakan jerat mereka akan mengena.

“Puan kami nak berikan bantuan PRIHATIN, kami perlukan butiran peribadi puan, akaun nombor puan untuk kami bank in bantuan”.

Saya selalu berpesan kepada mama, hati-hati mama, orang jahat ramai dekat luar sana. Mereka tak macam orang dulu-dulu, orang dulu merompak cara fizikal. Dia datang, dia ambil, dia rompak. Kita nampak. Kita tahu dia jahat.

Orang sekarang bijak, dia merompak pun kita tak nampak. Nampak macam baik. Ayat dia power! Sedar-sedar duit kita dah tak ada. Jadi mama selalu jadi lebih peka dan waspada. Terus mama letak telefon.

Tak lama kemudian, ada panggilan kedua hubungi lagi. Cuba lagi hendak dapatkan maklumat peribadi serta nombor akaun mama. Mama kata, dia cakap memang lembut gigi dari lidah. Siapa dengar boleh terpedaya. Terus mama letak telefon.

Mama hubungi saya minta berpesan kepada yang lain, “Tengok ni, pagi-pagi scammer dah buat kerja. Dia ingat mama orang tua, mama percaya. Ada ke dia kata hendak minta butiran dan nombor akaun? Kalaulah kerajaan nak bagi bantuan, takkanlah kerajaan tak tahu butiran kita”, kata mama seperti detektif.

“Pesan kak dekat kawan-kawan, dekat mak-bapak depa semua. Scammer selalu cari orang-orang tua. Depa ingat orang tua tak bijak, tak tau teknologi”, itulah pesan mama, suruh semua berhati-hati. Saya menyampai kerisauan mama takut yang lain terkena.

Mama tahu bulan ini orang sudah dapat bantuan, jadi ramailah ‘ulat-ulat’ yang cuba mengambil kesempatan.

Untuk makluman penerima PRIHATIN RAKYAT mana-mana isi rumah yang telah menerima Bantuan Sara Hidup atau mempunyai rekod dengan LHDNM (tertakluk kepada jenis bantuan) tak perlu memohon atau kemukakan permohonan baru. Penerimaan akan dimasukkan terus ke akaun bank berdaftar.

Siapa-siapa belum berdaftar boleh buat permohonan baru. Percayalah, kalau betul dari ‘kerajaan’ mereka tidak akan hubungi satu persatu individu hendak masukkan jumlah. Banyaknyalah masa. Apa-apa pun semaklah dengan pihak kementerian.

Tolong ya pesan kepada mak, abah, makcik, pakcik. Dalam keadaan kita memerlukan perbelanjaan begini, janganlah kita dirompak. Kasihan mereka, sudahlah kesempitan, dianiaya pula.

Gambar dibawah ada rumusan oleh Pejabat Perdana Menteri berkenaan dengan bantuan atau permohonan ini.

Published by
Almaswa Haji Che Ros