Fesyen

Tampil Bak Pahlawan Wanita! Sandra Lim Pilih Persalinan Puteri Walinong Sari Ke Pentas Miss Universe 2024 Di Mexico

Share

Setiap tahun, apabila Malaysia menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik Miss Universe International, antara saat yang paling dinantikan oleh para penggemar dunia ratu cantik adalah momen wakil Malaysia beraksi di pentas bagi segmen kostum nasional.

Baru-baru ini, Remaja menyaksikan penantian kostum Malaysia bagi edisi 2024 yang bakal diperagakan oleh wakil negara, Sandra Lim muncul di dalam persalinan kostum bertemakan pahlawan negeri Pahang iaitu Puteri Walinong Sari secara langsung di Auditorium MYEG Tower, Damansara pada Rabu, semalam.

Kostum nasional sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail itu tampil dalam sentuhan songket tradisional indah dan tampak cukup menyakinkan ketika ia dipertontonkan pertama kali di sidang media.

Aksesori pedang juga ditambah bagi menunjukkan jiwa seorang pahlawan persis dengan personaliti peribadi Sandra Lim yang juga merupakan atlet wushu dan mempunyai kemahiran dalam bermain pedang.

Dalam pada itu, bagi gaun malam dengan tema ‘Reaching For The Stars’, Sandra tampil mempesona dalam busana berwarna kilauan keemasan yang membuatkan Miss Universe Malaysia itu nampak memukau.

Memetik kenyataan perekanya, walaupun hanya mengambil masa kurang dari sebulan untuk menyiapkan setiap busana. Ezuwan berharap agar kostum nasional ini berjaya membuatkan rakyat Malaysia berbangga dengan representasi budaya negara kita di pentas antarabangsa dan mendoakan yang terbaik untuk Sandra.

Sementara itu Sandra berkata, dia teruja selepas melihat setiap hasil rekaan dihasilkan oleh Ezuwan Ismail. Selain itu, konsep kostum dan gaun malam tepat dengan konsep keyakinan yang ingin dipertontonkan olehnya di pentas Miss Universe International nanti.

 Selain mahu membawa semangat dan budaya Malaysia yang ada dalam dirinya di mata dunia, Sandra ingin menunjukkan bahawa wanita juga mampu menjadi seorang pemimpin dan tampil sebagai simbol berkuasa.

Tambah Sandra, dia juga mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa setiap perjalanan ini adalah mengenai kerja keras orang ramai, mempunyai tujuan dan dia mahu menjadikan semuanya bermakna.

Susulan itu, Sandra turut berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan menyatakan bahawa dirinya hanya sebagai wakil untuk ke pentas berprestasi itu tetapi semuanya adalah tentang Malaysia.

Sekadar info, penganjuran Miss Universe 2024 kali ke-73 ini akan berlangsung di Mexico, 16 November depan. Sandra Lim difahamkan akan berangkat pada 28 Oktober ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE