Nampaknya wakil Malaysia ini sudah mula menunjukkan taringnya di pentas antarabangsa. Prasana Shri yang ketika ini mewakili negara di pertandingan Miss Eco International 2022 telah berjaya menggondol dua anugerah ketika pusingan awal diadakan.
Dia yang sedang berentap dengan lebih 40 peserta lain dari seluruh dunia, tampil meyakinkan dalam persembahan busana kostum nasional dan juga gaun petang yang tampak mewah.
Hasil daripada persembahannya yang meyakinkan, Prasana telah dianugerahkan dengan gelaran Miss Elegant dan juga Best of Evening Gown. Semestinya gayanya yang menawan di atas pentas menarik perhatian para juri untuk menobatkan pelajar jurusan pergigian ini dengan gelaran tersebut.
Meninjau ke dalam Instagramnya, Prasana yang ketika itu baru selesai bertanding di pusingan awal berkata, “Saya telah menyampaikan yang terbaik untuk mempersembahkan Eco Dress dan juga gaun petang. Saya berharap semua rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi saya.”
BACA JUGA: 4 Ratu Cantik Yang Membanggakan Malaysia Sepanjang 2021. Menariknya, Mereka Semua Berdarah India
Semestinya, dia berjaya menawan hati ramai lantaran berjaya menggondol dua anugerah tersebut. Bukan mudah untuk bersaing dengan gadis-gadis cantik lain dari seluruh dunia. Namun rezeki berpihak kepadanya.
Berbicara tentang gaun petang yang dinobatkan sebagai gaun petang terbaik itu, busana tersebut merupakan rekaan Afeer Razak yang juga merupakan direktor kebangsaan bagi Miss Eco Malaysia. Dinamakan sebagai A Thousand Diamonds, gaun tersebut dipenuhi dengan batuan jemeki berkilau dari atas hingga bawah.
Dalam penjelasan menerusi Instagram Ratu Wanita Malaysia, “Nama A Thousand Diamonds dipilih untuk melambangkan Prasana sebagai lambang alam semula jadi yang akan terus memelihara Ekosistem Malaysia.
“Sebagai Miss Eco Malaysia, dia akan menggunakan suara dan pengaruhnya untuk membawa beberapa pengharapan baharu kepada ekosistem kita. Oleh itu, busana A Thousand Diamonds
diperbuat daripada batuan jemeki berwarna tertentu seperti putih , coklat dan hijau yang mempunyai makna tersendiri.”Organisasi Miss Eco International akan memahkotakan pemenang baharu pada Khamis, 17 Mac 2022. Sama-sama kita saksikan siapakah yang bakal membawa pulang gelaran tersebut.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.