Jika kita perhatikan ‘air tangan’ pengarah berbakat besar tanah air, Syafiq Yusof ini sudah pastinya dia akan membawa sesuatu kelainan dalam setiap hasil karya seninya.
Menerusi naskhah aksi terbaharunya berjudul Special Force: Anarchy, pengarah ini mencari kelainan tersendiri dengan mengetengahkan aktres wanita, Puteri Aishah sebagai watak utama dalam drama tersebut.
“Saya dan pasukan produksi mengambil cabaran membuat kelainan dengan mengetengahkan pelakon wanita sebagai watak utama. Inspirasi drama ini diambil menerusi filem arahan saya, KL Special Force pada 2018.
ARTIKEL BERKAITAN: Gaya Anggun Puteri Aishah Dalam Rekaan RIZMAN RUZAINI Untuk Majlis Perkahwinannya
“Corak persembahan dalam drama ini juga boleh dikatakan lebih kurang dengan filem berkenaan. Bagaimanapun, ia bukanlah siri sambungan. Drama aksi Special Force: Anarchy ini memaparkan aksi kepolisan berbeza jalan cerita.
“Saya juga memerlukan karakter yang boleh melakukan aksi dan memberikan emosi. Kalau lihat dalam filem, hero sarat dengan babak pergaduhan. Tetapi, kami lakukan pembaharuan jalan cerita dengan mengetengahkan pelakon wanita selaku watak utama. Ini antara kelainan ditonjolkan,” ujarnya panjang.
Dalam pada itu, pengarah filem Abang Long Fadil itu berkongsi dia turut berdepan beberapa cabaran apabila mahu menghasilkan drama yang memiliki latar belakang negara berbeza.
“Agak sukar untuk mengubah menjadi sesebuah negara lain. Disebabkan penggambaran dijalankan di ibu kota, jadi banyak logo dan bangunan ikonik Malaysia dapat dilihat. Banyak rakaman nampak seperti di Kuala Lumpur.
“Jadi, apa yang kami lakukan menggunakan kesan khas visual (VFX) untuk mengubah suasana. Itulah cabaran saya ketika proses suntingan. Kami perlu buat seperti berada di negara berbeza kerana mahu mengelakkan daripada sebarang isu sensitif,” katanya lagi.
Sekadar informasi, drama aksi ini mengisahkan Iman lakonan Puteri Aishah seorang pegawai polis yang berani menempuh cabaran menghadapi sebuah organisasi kumpulan kongsi gelap.
Ia bagi merungkai misteri dan pelan mereka untuk merompak Bank Negara dalam sebuah negara fiksyen bernama Tenggara. Ia telah mula ditayangkan pada 14 Januari menerusi penstriman Disney+ Hotstar.
Drama terbitan Skop Productions ini menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Datuk M Nasir, Hasnul Rahmat, Elizabeth Tan, Alvin Wong, Johan As’ari, Yusuf Bahrin, Fify Azmi, Chacha Maembong dan ramai lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Puteri Aishah