Tampil Sopan & Elegan, Cucu Presiden AS Pilih Rekaan Ralph Lauren Untuk Hari Perkahwinannya

Share

Tidak perlu terdedah untuk nampak cantik, yang tertutup juga mampu tampil menarik.Betul tak?

Naomi Biden yang merupakan cucu presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah memilih untuk menggayakan busana gaun kembang dengan rona putih rekaan Ralph Lauren sempena majlis perkahwinannya yang diadakan di kawasan Padang Selatan dalam perkarangan White House.

Kredit foto: Instagram Corbin Gurkin

Busana tertutup penuh tersebut diinspirasikan dari rekaan gaun perkahwinan Puteri Grace Kelly ketika berkahwin dengan kerabat Diraja Monaco pada tahun 1956. Ternyata Naomi kelihatan bak puteri raja disamping suaminya, Peter Neal. Dengan perincian sulaman sarat memenuhi bahagian badan busana tersebut, corak flora yang dipilih memercik aura romantis.

Tidak lengkap sepasang gaun tanpa kehadiran layah tatkala bergerak ke altar. Memberikan gaya penuh dramatik, rekaan layah oleh Ralp Lauren diberi sentuan menarik apabila ia tampil ekstra panjang dan dilengkapi dengan sulaman yang menyamai sulaman pada gaun perkahwinan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaya Anggun Puteri Aishah Dalam Rekaan RIZMAN RUZAINI Untuk Majlis Perkahwinannya

Kredit foto: Instagram John Dolan Photography

Melengkapkan gaya keseluruhannya, Naomi mengenakan sepasang anting-anting platinum Tiffany & Co. bertatahkan berlian. Ia menampilkan mutiara Laut Selatan yang terkenal kerana saiznya dan dianggap sebagai antara jenis mutiara yang paling berharga di dunia.

Disenaraikan pada harga $9,300 sepasang di laman web jenama mewah tersebut, perhiasan kemas itu disifatkan sebagai mempunyai ‘kepekaan yang amat romantis’. Menariknya seolah-olah melengkapi gaya isterinya, Peter turut mengenakan kerongsang berbentuk bunga daisy yang disemat pada bahagian lapel kotnya.

Kredit foto: Instagram Corbin Gurkin

Dalam satu kenyataan, nenek kepada Naomi, Dr Jill Biden yang merupakan first lady of United States berkata, “Menjadi satu kegembiraan untuk melihat Naomi membesar, menemui siapa dia, dan mencipta kehidupan yang luar biasa untuk dirinya sendiri.

“Kini, kami berasa bangga melihat dia memilih Peter sebagai suaminya dan kami berbesar hati untuk mengalu-alukannya ke dalam keluarga kami. Kami mendoakan mereka melalui hari-hari yang penuh dengan kegembiraan dan kasih sayang yang semakin mendalam sentiasa.”

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen