Tanam Snake Plant Boleh Jejas Kesihatan, Ini Sebab-Sebab Yang Dijelaskan Oleh Pakar

Share

Rasanya kita semua sudah sedia maklum bahawa tumbuhan tular di media sosial baru-baru ini, snake plant yang dikatakan boleh menghilangkan habuk jika diletakkan di rumah adalah tidak benar. Namun begitu, satu lagi kenyataan yang dibuat oleh seorang ahli Kimia ini perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

BACA: Tanam Snake Plant Tidak Boleh Hilangkan Habuk Di Rumah, Ini Penjelasan Yang Korang Perlu Tahu

Dr Fatimah Salim melahirkan kembimbangan penyimpanan pokok dengan nama saintifik Sansevieria Trifasciata di dalam rumah, lebih-lebih lagi jika ditanam dalam bekas menggunakan tanah boleh membiakkan mikroorganisma seterusnya menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Menurut Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

Setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliate dan setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikroorganisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).

Disebabkan itu tanah tidak sepatutnya disimpan dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini.

Alternatif lain

Terdapat alternatif kepada tanah jika korang ingin menanam pokok di dalam rumah dan antaranya adalah tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, ‘perlite’ iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.

Kalau nak guna air sahaja pun boleh tetapi korang harus rajin menukarnya untuk mengelakkan pembiakan nyamuk dan mengurangkan mikroorganisma bermandiri.

Malah menurut Astro Awani, Pusat Racun Negara turut memuat naik status di laman Facebook rasmi mereka bagi menasihati orang ramai terutamanya jika mempunyai anak kecil agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai Saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.

Public Health Malaysia juga menasihati peminat indoor plant, berhati-hati sekiranya ada kanak-kanak, haiwan peliharaan dan pesakit kronik di rumah kerana ia boleh menyebabkan beberapa perkara seperti di bawah (dalam gambar).

Kesimpulannya, dalam korang begitu ghairah nak ikut trend tanam tumbuhan di dalam rumah, pastikan sentiasa berwaspada, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak yang mungkin terdedah dengan bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan.

Sumber: Astro Awani

Published by
Noor Ain Norman