Tashnuva Anan Shishir, Pembaca Berita Transgender Pertama Bangladesh

Share

Stesen Televisyen Satelit Bangladesh, Boishakhi TV telah mengejutkan ramai pihak apabila melantik ramai seorang transgender sebagai pembaca berita di stesen berkenaan. Tashnuva Anan Shishir, 29, tampil anggun membuat kemunculan dalam persalinan sari yang merupakan pakaian kebangsaan wanita di negara itu.

Permulaan kisah Tashnuva bermula sejak dia berada di alam remaja lagi. Ketika itu dia mula hidup sebagai seorang wanita, lantaran itu dia mula diganggu dan dibuli oleh ahli keluarga dan jiran-jiran sehinggakan dia pernah dieksploitasi secara seksual.

Dek perkara itu, tekanan perasaan yang dihadapi membuatkan dia mahu membunuh diri, kerana baginya mustahil untuk terus hidup dalam situasi yang dilalui. Paling teruk apabila ayahnya sendiri tidak lagi mahu bercakap dengannya kerana kononya dia menjatuhkan air muka keluarga.

Sejak dari itu Tashnuva berpindah dari rumah keluarganya dan tinggal sendirian di bandar yang mana dia mula berkerja dengan badan kebajikan dan berlakon dalam kumpulan teater tempatan. Dalam masa yang sama dia mula mendapatkan terapi hormone bagi melengkapi transisi perubahan dirinya. Bermula Januari tahun ini, dia merupakan seorang pelajar di Universiti Dhaka dalam bidang Kesihatan Awam di samping membaca berita sebagai kerjaya.

Persiapan sebelum muncul di kaca televisyen. Sumber gambar: Taiwan News

Dalam video yang dirakamkan dia menangis sejurus selesai membaca berita dan ditenangkan oleh rakan sekerja nyang meraikan kemunculan pertamanya di kaca televisyen. Dia berkata dalam satu temubual, “Saya berasa sangat gemuruh dan beremosi. Namun saya telah tanamkan di dalam minda yang saya harus melepasi halangan ini.”

Dalam satu kenyataan oleh Boishakhi TV, mereka mahu menjadi sebahagian dari perubahan dan mereksut seorang lagi transgender di bahagian drama syarikat tersebut. Menurut Tipu Alam Milon yang merupakan Naib Pengarah Pengurusan syarikat itu, “Perdana Menteri kami telah melakukan pelbagai langkah positif untuk golongan Transgender. Kami mahu sikap masyarakat berubah menerusi pelantikan individu-individu trangender di dalam syarikat ini.”

Menangis selepas membuat kemunculan pertama membaca berita. Sumber gambar: bbc.com

TRANSGENDER DI BANGLADESH

Bangladesh merupakan sebuah negara yang mesra transgender apabila pada tahun 2013, apabila kerajaan Bangladesh di bawah pimpinan Perdana Menteri, Sheiikh Hasina membenarkan trangender mengkategorikan diri mereka sebagai jantina yang berbeza. Kemudian pada tahun 2018 golongan trangender dibenarkan mengundi.

Walaupun begitu golongan ini tidak lari dari masalah diskriminasi seperti isolasi sosial, penderaan seksual dan pelbagai lagi masalah diskriminasi lain. Mencari pekerjaan merupakan perkara yang sukar sehingga memaksa mereka menjadi pekerja seks. Disebabkan perkara itulah perubahan demi perubahan dilakukan oleh kerajaan Bangladesh dalam menjaga kebajikan golongan ini.

Pada November tahun lalu, sebuah persatuan amal telah membuka Sekolah Islamik khusus untuk komuniti transgender di negara tersebut. Untuk pengetahuan para pembaca, Bangladesh merupakan sebuah negara yang mana 90 peratus rakyatnya beragama Islam.

Sumber: The Hollywood Reporter

Published by
Fiezreen