Tidak lama dulu ramai orang beranggapan bermain permainan video hanyalah sebagai hobi untuk habiskan masa. Dan ramai juga ibu bapa yang sangat concern dengan aktiviti ini yang dikatakan boleh mengganggu pelajaran anak-anak mereka.
Mungkin masa sekarang sudah tiba masanya stigma tersebut dihakis dari minda. Ini kerana permainan video secara kompetitif bukan lagi dianggap hanya bidang picisan tetapi ia mampu memberi pulangan yang cukup lumayan. Jika baru-baru ini kita mendapat perkhabaran bahawa salah seorang pemain e-sport permainan bolo sepak Fifa Ultimate Teamtelah layak ke pusingan peringkat dunia dan bakal berentap dengan pemain-pemain handalan seluruh dunia di Barcelona, Sepanyol.
Dengan sokongan padu daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia & Sukan (KBS) serta pelbagai penaja korporat dari dunia IT telah membuatkan e-sport sebagai antara bidang yang paling pantas berkembang. Di peringkat tempatan kita telah menyaksikan pertandingan seperti The Legends Cicuit, Malaysia Cyber Games, Selangor Cyber Games dan ESL Genting dianjurkan dengan penuh jaya.
Malah dengan liputan yang samkin baik dan menyeluruh daripada media bercetak dan elektronik telah membuatkan perkembangan pesat ini menjadi lebih hebat. Selain pertandingan tempatan, pemain-pemain e-sport kita juga telah berkelana ke luar negara bagi menyertai pelbagai pertandingan.
Terbaru, pasukan dari Malaysia iaitu Geek Fam telah menjuarai Asia Pacific Preadator League 2018 yang telah diadakan di Jakarta, Indonesia. Selepas tiga bulan bertarung, Geek Fam telah mengharungi pelbagai cabaran dan pihak lawan. Grup mereka yang dianggotai oleh Skemberlu, March, Chyuan, Oli dan Playhard telah menewaskan pasukan BOOB.ID dari Indonesia dengan kemenangan 2-1. Manakala tempat ketiga pula diraih oleh pasukan dari Filipina Quid Pro Quo.
Hasil kemenangan ini, Geek Fam membawa hadiah wang tunai bernilai USD50,000 (kira-kira RM197,000)! Asia Pacific Predator League 2018 menyaksikan pertandingan DOTA 2 yang menyaksikan penyertaan daripada 8 pasukan finalis daripada 8 buah negara bertanding. Dan Geek Fam merupakan juara pertama pertandingan ini.
Untuk kejohanan pada tahun hadapan, kotaraya Bangkok telah dipilih sebagai tuan rumah dan ia bakal menyaksikan lebih banyak pasukan yang akan bertanding.
Menurut Pengarah Pengurusan Acer Malaysia, Ricky Tan, pihaknya sangat berbangga dan bebesar hati dengan kejayaan pasukan Malaysia yang dinobatkan sebagai juara. Sebagai antara jenama yang sentiasa melihat e-sport sebagai sukan kompetitif masa hadapan, pihaknya berharap lebih banyak pasukan daripada Malaysia mengecap kejayaan sama.
Tahniah Remaja ucapkan buat pasukan Fam Geek yang telah berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Teruskan berusaha di masa akan datang agar Jalur Gemilang akan terus mengah berkibar walau di mana juga kita berada.
Malaysia Boleh!