Siapa tidak gemarkan filem keluaran Disney yang memberikan fokus kepada watak antagonis?
Filem-filem terdahulu di bawah genre yang sama seperti Joker dan Maleficient umpamanya telah mendatangkan keuntungan kepada studio produksi setelah ia mendapat sambutan hangat daripada peminat dunia animasi serta peminat filem bergenre ‘gelap’.
Justeru, ramai yang teruja menantikan teaser pertama dan poster bagi filem keluaran Walt Disney Company berjudul Cruella.
Seperti tajuknya, filem ini berkisarkan watak Cruella De Vil yang dahulunya pernah menghiburkan kanak-kanak sebagai villain pembunuh anjing jenis dalmation semata-mata untuk dijadikan kot sejuk.
Kali ini menerusi Cruella, penonton akan disajikan dengan versi live-action
mengenai kehidupan awal Cruella sekitar era 1970-an di kota London.Menerusi klip teaser yang telah dilancarkan hari ini, Cruella lakonan Emma Stone ditampilkan sebagai seorang yang fashionable dan gemar menghiburkan dirinya dengan berkelakuan.. err ‘di luar kotak’.
Dia yang dilahirkan sebagai Estella merupakan kanak-kanak perempuan yang bijak, kreatif dan bercita-cita tinggi untuk menjadi popular menerusi rekaan fesyennya.
Stail dan gaya pakaian Estella itu telah menarik perhatian Baroness von Hellman (lakonan Emma Thompson) yang merupakan seorang lagenda dunia fesyen. Hubungan mereka setelah berkenalan membuatkan Estella lebih berani menonjolkan sisi lantang, berani dan merbahaya – lalu menjadi karakter bernama Cruella.
Seperti teaser Cruella yang dapat korang tonton di atas, Emma Stone cuba menjadikan dirinya se-Inggeris mungkin. Dengan kejayaan beberapa filem Emma sebelum ini dari segi jualan tiket dan di acara anugerah besar, penulis memahami mengapa Emma menjadi pilihan penerbit Cruella.
Bagaimanapun, warganet terlebih dahulu telah berbelah bahagi dalam komen balas mereka terhadap filem Cruella. Lambatt lagi dik nak tayang, kau dah judge awal-awal.
Ya, ada yang menggemari kisah Cruella sebagai penggemar fesyen dan ramai merasakan suntingan filem ke dalam klip teaser tersebut adalah cemerlang. Ia membuatkan penonton tak sabar-sabar menantikan bulan Mei kelak.
Namun, sebahagian besar warganet tidak begitu pasti sama ada filem Cruella ini akan berjaya ataupun tersungkur. Mereka berpendapat Emma Stone bukanlah aktres yang harus dipilih bagi memegang watak Estella/Cruella kerana dirinya tidak ‘sekejam’ yang didambakan oleh peminat Disney. Dari skala 1-10, Emma mungkin akan memperolehi rating 4.
She is wicked and fun – no doubt, but as Disney villain..? Penulis sendiri tidak begitu pasti.
Warganet juga tidak menolak persamaan yang ditonjolkan Emma dengan satu lagi karakter villain wanita zaman ini iaitu Harley Quinn (Suicide Squad). Persona yang ada pada Estella/Cruella buat masa ini terlalu dekat dengan watak lakonan Margot Robbie itu, seakan tiada perbezaan pun kecuali slanga Inggerisnya.
Seperkara lagi, peminat Cruella De Vil gusar jika Disney akan cuba untuk ‘melembutkan’ karakter tersebut seperti yang pernah mereka lakukan kepada Maleficient.
Apapun, ini baru teaser pertama filem Cruella.
Mungkin banyak lagi kejutan yang masih disimpan oleh Disney dan satu-persatu akan menemui peminat Disney sebelum tarikh tayangan pada 27 Mei ini.
Bak kata Cruella, “I was just getting started Darling..”
ARTIKEL BERKAITAN : 2021 PADAT Dengan Filem & Drama Baru Di Disney Plus! Lihat 9 Pilihan REMAJA – REMAJA