Teguran Sahur Menteri Hal Ehwal Agama Buat Aliff Syukri, Minta Padam Video ‘Kelepok Raya’

Share

 

Selepas meluangkan tempoh seminggu lepas untuk mempromosikan single lagu Aidilfitri terbarunya, Dato Sri Aliff Syukri Kamarzaman pada pagi tadi telahpun menerima ‘teguran Sahur’ oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Datuk Idris Ahmad berhubung video muzik penuh kontroversi milik usahawan kosmetik tersebut.

Kata Idris, beliau terpanggil untuk mengulas mengenai isu video muzik berjudul Kelepok Raya itu berikutan kemunculan beberapa watak penari yang mengiringi Aliff Syukri dalam perlakuan yang menjauhi adab masyarakat timur serta ajaran Islam sendiri.

Pada ketika umat Islam sewajarnya mengejar kelebihan 10 malam terakhir di bulan Ramadan dan mengutip sebanyak mungkin pahala yang ditawarkan, isu yang menyentuh sensitiviti beerkaitan agama dan batasan dalam berhibur ini tidak sepatutnya berlaku. Tambahan pula apabila masyarakat baru bersedia untuk pulih daripada bala wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Nasihat beliau adalah agar video muzik seumpama Kelepok Raya ini dipadamkan daripada mana-mana platform media, atau ditetapkan hanya untuk tatapan peribadi.

“Sebagai tindakan awal, klip video ini telah saya rujuk kepada JAKIM untuk dibawa ke pihak berkuasa. Saya yakin ia mampu memberi jiwa yang besar dan hati yang lebih lapang jika kita patuh pada ajaran serta nilai agama yang tidak rugi pun jika kita turuti. Malah insyaAllah, Allah akan melapangkan lagi rezeki kepada kita atas patuhnya kita kepada Allah SWT,” catatnya.

Beliau turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Aliff Syukri sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama umat Islam bagi membincangkan perkara berkaitan.

Dalam waktu yang sama, beliau menasihati agar rakyat Malaysia secara amnya untuk berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi kebaikan semua pihak.

Video single Kelepok Raya yang dinyanyikan oleh Dato Sri Aliff Syukri dan Datin Sri Shahida kini berada di tangga pertama video trending di Malaysia dengan jumlah tontonan hampir 812,000 (setakat artikel ini dikarang) dan diterbitkan oleh Rusa Music.

Sumber : Facebook Rasmi Idris Ahmad

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ