
Pelakon dan bekas Hero Remaja 2021, Amir Ahnaf tampil berkongsi pengalaman ketika diberi peluang bekerjasama dengan produksi dari negara seberang bagi pembikini filem seram, The Parcel.
ARTIKEL BERKAITAN: Amir Ahnaf Luas Pengaruh Ke Indonesia, Terpilih Bintangi Filem Seram ‘The Parcel’ – REMAJA
Berkata kepada Remaja, dia sangat terharu apabila terpilih untuk tampil di layar skrin negara itu selain ingin mencuba perkara baharu.

Selain itu, walaupun pembikinan karya seram itu agak mencabar, namun dirinya bersyukur kerana dibantu oleh pihak yang terlibat, di sana.
“Alhamdulillah, tekanan yang sangat mantap. Saya suka tekanan itu kerana saya dapat keluar daripada zon selesa dan kita ‘upgrade’ kepada tahap seterusnya.
“Bagi saya, cara komunikasi juga berbeza dengan bahasa dan dialek mereka.”

“Jadi, ia agak mencabar. Bagaimanapun Alhamdulillah, mereka di sana pun menerima kita, orang luar. Ia sedikit sebanyak juga banyak mempermudahkan sayalah,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon naskhah hit Projek: High Council itu turut berkongsi perbezaan berlakon bersama produksi Indonesia dan di tanah air sendiri.
“Saya rasa lebih kurang sama sahaja, tiada banyak beda banget sih (bahasa Indonesia).
“Waktu kerja lebih kurang, tekanan pun lebih kurang. Bezanya hanyalah bahasa sahaja,” ujarnya lagi.

Selain Amir, The Parcel juga menampilkan seorang lagi pelakon dari Malaysia, Nora Danish dan turut dibintangi oleh pelakon Indonesia berkaliber seperti Atiqah Hasiholan, Baim Wong, Putri Ayudya dan Whani Dharmawan.
Untuk informasi, The Parcel mengisahkan tentang seorang wanita bernama Radha yang bertugas sebagai photojournalist. Disebabkan terbelit dengan isu kewangan, Radha dan anak lelakinya terpaksa berpindah ke sebuah rumah yang lebih murah sewanya.
Di sinilah, pasangan anak dan ibu itu mula mengalami peristiwa pelik dan menakutkan disebabkan oleh kisah lama pemilih rumah terdahulu. Ia semua gara-gara Radha membuka sebuah kiriman bungkusan tanpa nama yang tiba di rumahnya.

Terdahulu, beberapa bekas finalis Hero Remaja dan Dewi Remaja juga pernah diberikan kesempatan untuk membuka langkah ke Indonesia termasuklah Meerqeen dan Anna Jobling.
ARTIKEL BERKAITAN: “Patutlah Aku Kena ‘Try’ Hero Remaja 4 Kali….” – Amir Ahnaf Kongsi Perasaan Bergelar Juri Uji Bakat Hero Dewi Remaja 2023 – REMAJA
SUMBER FOTO: Instagram Amir Ahnaf
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Macam-Macam Bentuk, 10 Kampus Universiti Dengan Seni Bina Unik Di Dunia

Para pelajar pasti akan terfikir-fikir apakah kriteria penting memilih institusi pengajian yang terbaik selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau STPM. Selain memilih bidang pengajian yang sesuai, tempat sambung belajar juga memainkan peranan penting.
Memang bertuah rasanya bila dapat tinggal dikawasan universiti yang bersih, cantik serta lengkap dengan kemudahan.
Berikut REMAJA senaraikan 10 universiti seluruh dunia dengan seni bina yang unik dan menarik!
1. The La Trobe Institute for Molecular Science, La Trobe University Australia

La Trobe Institute for Molecular Science dibuka pada tahun 2013. Seperti namanya, jabatan ini mempunyai reka bentuk struktur molekul. Tingkapnya berbentuk seperti atom yang saling bersambung. Selain itu, tiang bangunan berbentuk seperti huruf X dan Y yang mewakili kromosom.
2. Universiti Yale – New Haven, Connecticut

Bangunan universiti ini berunsurkan Gothic Victorian dan Ivy League. Merupakan institut ketiga tertua di Amerika Syarikat.
3. Universiti Helsinki – Helsinki, Finland

Indah dengan warna-warna bangunan pastel dan yang paling mengagumkan ialah taman botani universiti. Ia menyimpan pelbagai jenis tumbuhan untuk tujuan penyelidikan sehingga 10 ekar.
4. The Hive, Nanyang technological University Singapura

Mengapa ia dipanggil The Hive? Kerana reka bentuk bangunan kampus ini menyerupai dan diilhamkan oleh sarang lebah. Bangunan Universiti Teknologi Nanyang Singapura dirancang oleh Thomas Heatherwick.
5. Weissman Art Museum, University of Minnesota, Amerika Syarikat

Frank Gehry ialah arkitek di sebalik terciptanya reka bentuk unik Koleksi Seni Weissman University of Minnesota. Bangunan muzium ini mempunyai dua sisi. Satu sisi adalah tembok bata, berpadu dengan bangunan bersejarah di sekitar muzium. Sebelah lagi, bangunan ini dilapisi dengan kepingan keluli khas.
6. Kuggen Building, University of Gothenburg, Sweden

Bangunan Kuggen mempunyai bentuk silinder. Bangunan merah yang menyerlah ini adalah tempat untuk pelajar Program Master yang mengambil jurusan Game Design dan juga tempat untuk perpustakaan Chalmers.
Dalam bahasa Sweden, perkataan ‘kuggen’ bermaksud gear. Bermaksud bangunan ini mewakili hubungan antara dunia akademik dan bidang komunikasi digital dan media yang terus dikaji di bangunan tersebut.
7. West Campus Union, Duke University, Amerika Syarikat

Bangunan universiti seperti kotak kaca ini merupakan pintu masuk moden antara seni bina neo-Gothic dari bangunan asal dan ruang sosial pelajar.
Ini kerana ketika West Campus Union di Duke University, North Carolina memerlukan pengubahsuaian, nampaknya para arkitek melakukan lebih dari sekadar mengembalikan reka bentuk asal tahun 1920-an.
8. The Diamond, Bangkok University, Thailand

Bangunan ini diberi nama The Diamond kerana berbentuk seperti berlian. Reka bentuknya diilhamkan bagi misi Universiti Bangkok untuk membuka kreativiti yang ada pada pelajarnya. Di dalamnya, terdapat banyak ruang belajar yang terang dan lapang, dewan kuliah, studio, dan pusat inkubasi perisian.
9. Sharp Centre for Design, Ontario College of Art and Design, Kanada

Pusat Reka Bentuk Sharp bukan hanya bangunan ikonik milik Ontario College of Art and Design, tetapi juga di kota Toronto.
Bangunan ini didirikan pada tahun 2004 dengan bentuk menyerupai meja. Kaki diperbuat daripada 12 kepingan keluli dan berwarna terang.
10. UTS Business School, University of Technology Sydney, Australia

Fakulti dibuka pada tahun 2015. Pengkritik pada masa itu segera membandingkan reka bentuk bangunan itu dengan beg kertas coklat.
Oleh itu, Gabenor Jeneral Australia ketika itu, Peter Cosgrove berkata, “Beg kertas yang paling cantik yang pernah saya lihat.”
Jadi antara semua ni, mana korang rasa paling unik?
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
SHAZA BAE Is Breaking Through : Tidak Mudah Memikul Gelaran Dewi Remaja – Isu Digital Mac 2022

DEWI REMAJA Breaking Through
MENYINGKAP PERJALANAN TIGA TAHUN YANG DILALUI LIMA DEWI PENYERI ISU MAC 2022 KAMI, SERIBU SATU PERASAAN TERUNGKAP MENGENANGKAN MEMORI MANIS BERSAMA. KELIBAT MEREKA SEMAKIN DIRASAI DALAM LALUAN MASING-MASING. SETIAP SEORANG PUNYA KISAH TERSENDIRI SEBAIK TIRAI DEWI REMAJA 2019 BERLABUH.
ARAHAN SENI: FZ AIMMAN, AZNIZA & MUSTAIZZAH PENGARANG: FZ AIMMAN PENYELARAS: RUZIANA ZAINAL, NOOR AIN NORMAN & FIEZREEN AHMAD JURUFOTO: AZFARINA SULAIMAN UNTUK IDEAKTIV SUNTINGAN: HEZRY ROKMAN PENGARAH KREATIF NADIA ABDULLAH PENERBIT VIDEO JUNIOR: SHERFIQA SHARIDAN JURUVIDEO: IZZUDIN ISMAIL & MUSLIM ABDULLAH SUNTINGAN VIDEO: AMIRUL FITRI SOLEKAN & DANDANAN: AYANG KAMELL BUSANA: GUESS & RIZMAN RUZAINI AKSESORI: HILL TO STREET
![]()
SHAZA BAE
BERKONGSI KISAH REALITI DI SEBALIK MISI BREAKING THROUGH MILIKNYA.
Janji kami adalah untuk bertemu pada jam 8.30 pagi. Terlalu lama rasanya tidak bertentangan mata dengan pemilik gelaran Dewi Remaja 2019 ini dek jadualnya yang padat. Satu-persatu langkahnya dalam industri seni disusun cantik sejak awal 2020 dalam bidang pengacaraan mahupun lakonan; membuatkan masanya untuk berlibur di waktu senggang semakin menipis. Itulah asam garam yang perlu ditelan Shaza Bae demi menempa kejayaan di usia muda 27 tahun.
Sebagai seorang pelakon drama-drama kegemaran penonton seantero Malaysia dan pengacara tetap program HLive, Shaza Bae perlu bijak mengatur jadual demi memuaskan semua pihak yang ingin bekerjasama dengannya.
Jelas kedengaran tawa riang miliknya sebaik saya tiba di studio. Saya jengukkan kepala di sebalik tirai, Shaza sudahpun terduduk di kerusi solekan sambil wajahnya dirias oleh Ayang Kamell. Jam di dinding baru menghampiri detik 8.28 pagi namun Shaza sudahpun mula mengambil tempat (dan mood) bagi penggambaran kami pada hari itu.
Memang si cantik eksotik ini masih tidak berubah, garapan displinnya masih tertib seperti sewaktu dia bergelar finalis Dewi Remaja 2019 bersama 11 gadis lain.

Setelah mencatur laluan sebagai seorang pengacara program dan pelakon di mana naskah pertamanya adalah menerusi naskah Perempuan Tanpa Dosa arahan Michael Ang, Shaza semakin selasa dengan intensiti dunia seni hiburan yang ingin sekali dia jadikan sebagai punca rezeki buat jangka masa lama.
“Alhamdulillah, selepas itu ada saja tawaran. Rezeki sentiasa ada dan untuk itu, saya amat bersyukur. Saya anggap langkah saya menyertai industri ini sedikit berbeza kerana kebetulan, ia selari dengan musim pandemik pada awal tahun 2020. Baru saja saya hendak bersemangat bekerja selepas Dewi Remaja 2019 (yang berakhir pada bulan Disember 2019), segalanya terhenti.
“Rasa down itu tentulah ada, tipulah jika saya anggap diri saya tidak terkesan dengan kehadiran wabak tersebut. Namun saya positifkan diri dan sentiasa percaya, rezeki yang tepat akan datang pada waktu yang tepat.
“Bagi saya, itulah pentingnya untuk saya.. atau sesiapapun di luar sana untuk mempunyai minat dalam segala perkara yang kita lakukan. Apa-apa cabaran pasti mampu kita tempuhi jika minat disemat dalam hati,” katanya sambil berkongsi moto kariernya iaitu, I just do it and I do it with love.

Dalam apa jua haluan kehidupan yang kita pilih, restu ibu bapa adalah salah satu faktor utama bagi masyarakat kita. Resmi orang Asia, tanpa restu sukar untuk kita menapak. Belum pernah lagi Shaza mendedahkan perkara ini. Akui Shaza secara eksklusif kepada REMAJA, pembabitannya pada peringkat awal dalam industri seni hiburan tidak begitu disenangi ibunya.
“I tak pernah reveal (perkara) ini termasuklah sewaktu dalam Dewi Remaja. Mak saya sebenarnya tidak berapa setuju sangat saya masuk ke dalam industri ini.
“Cuma, saya rasa dia mula memahami where I was coming from selepas saya menang (Dewi Remaja 2019). Dia melihat kerja keras saya dan akhirnya, dia terbuka hati untuk menyokong.
“Mak saya memang seorang yang sangat teliti dalam setiap aspek karier anaknya. She is my most powerful critic. Ada kalanya, saya pun terduduk diam bila dia memberi kritikan. Tapi saya fikir, itu sedikit sebanyak mengajar saya untuk toughen up. Ya, hidup ini tidak selalunya indah dan tidak selalunya mudah lebih-lebih lagi untuk dalam industri seni.
“Kini saya memahami cara mak saya memberikan sokongan. Inilah yang digelar tough love, di mana setiap kritikan diberi kerana rasa sayang dan demi melihat anaknya ini berjaya. Dan segala yang saya lakukan dalam tempoh tiga tahun ini adalah demi ibu saya juga. She knows that,” kongsi Shaza penuh raw & personal.

“Pengalaman mengacarakan finale Hero Remaja 2021 amat berharga kerana saya pelajari banyak perkara. after I did that, I feel I can do so much more in life.”
“I overcame my fear, my anxiety and my stage fright as a newcomer. Pengalaman itu mengajar saya untuk betul-betul melakukan persediaan. Dengan izin Tuhan, segalanya berjalan dengan lancar..”
Shaza bae
*
Banyak ilmu yang berjaya dicedok Shaza sepantas tempoh tiga tahun. Sebagai personaliti triple threat yang telah memegang gelaran pelakon, pengacara dan pengajar (she is Miss Shaza Bae amongst her students), ilmu paling utama buatnya adalah bagaimana untuk menerima kritikan dan rejection daripada segenap masyarakat yang menyaksikan kelibatnya di kaca televisyen, di skrin YouTube mahupun secara face to face.
“Semua insan yang mengenali saya sekarang akan mempunyai pendapat mereka terhadap saya. Sometimes saya sudah melakukan yang terbaik tetapi masih terbit beberapa kekurangan yang akan orang perbualkan. Sampai sekarang pun sebagai anak seni, saya masih belajar untuk hidup dengan kritikan.
“Kedua, seseorang yang ingin menceburi bidang ini wajib mempunyai displin yang tinggi dan mental yang kuat. Nampak saja glamor tapi dalam glamor, ada harga yang harus dibayar; yakni masa, tenaga dan macam-macam lagi pengorbanan terutamanya masa bersama keluarga serta masa untuk diri sendiri. Sebab itulah saya selalu tekankan pada NIAT.”
“Kerja seni melibatkan kerja keras. You are bringing the whole team for a show with you. Mereka berkerja bersama anda, bukan untuk anda.”

Kami sedar akan beban yang dipikul oleh Dewi Remaja ini; bukan saja demi memartabatkan legasi dan jenama program yang telah melahirkan ramai bintang ini. Tetapi Shaza juga memikul beban untuk memartabatkan kelebihan, potensi, maruah diri dan maruah orang di sekeliling. Jerih perih yang ditanggung, hanya empunya badan saja yang mengerti.
Buat Shaza Bae, itu bagaimanapun bukanlah satu alasan atau halangan untuk seseorang gadis itu tidak cuba mengecapi impiannya. Jika impian anda sememangnya untuk bergelar Dewi Remaja, perkukuhkanlah niat itu dengan usaha, keinginan dan hati yang terbuka untuk belajar selok-belok dunia penuh pancaroba ini.
“Jangan pantas mengharapkan apa yang industri boleh tawarkan kepada anda. Ketahui dulu apa yang boleh anda tawarkan kepada industri.
“Saya berharap peserta Dewi Remaja 2022 tergolong dalam kalangan gadis yang ikhlas memperjuangkan legasi Dewi Remaja yang sudah sekian lama ada. Jadi, bersedialah. Jika anda rasakan diri ada kekurangan, pastikan anda datang dengan persediaan rapi dan hati yang ikhlas. Dan ingat, it is okay if you do not get it. Rejection hanyalah satu fasa dalam kehidupan. It does not define what you are capable of in the future.
“Perjuangan sebenar bukan dalam program Dewi Remaja tetapi di dunia luar nanti,” simpul Shaza Bae
*

Adakah anda Dewi Remaja seterusnya? Nantikan kehadiran kami di:
- Thistle Hotel Johor Bahru, JOHOR (5 & 6 Mac)
- The Palace Hotel Kota Kinabalu, SABAH (12 & 13 Mac)
- Vouk Hotel George Town, PULAU PINANG (19 & 20 Mac)
- Bangunan Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam, SELANGOR (26 & 27 Mac)
Kaunter pendaftaran dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Peserta perlu terlebih dahulu menepati syarat-syarat penyertaan, mematuhi terma uji bakat dan mengisi borang secara atas talian DI SINI.
Peserta juga lengkap vaksinasi, membawa kit ujian kendiri Covid-19 dan melakukan ujian kendiri sebelum memasuki premis uji bakat.
Pesonakan Bintangmu dan jumpa di sana!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ada Yang ‘Panas’ Dengan Mesej Politik, Lihat 16 Kostum Bermakna Di Miss Universe 2021

Saban tahun apabila pertandingan ratu cantik, Miss Universe dianjurkan, segmen kostum nasional adalah salah satu segmen kegemaran REMAJA.
Ia merupakan segmen yang membolehkan para peserta berseronok ketika mempertontonkan kostum masing-masing di pentas tersebut. Malah, ia juga mempertontonkan kreativiti dan hasil kerja pereka yang dilantik untuk mempersiapkannya untuk wakil di Miss Universe.
ARTIKEL BERKAITAN : INDIA Dinobat MISS UNIVERSE 2021, Tamat Kemarau Kemenangan 21 Tahun – REMAJA
Jom lihat 16 kostum nasional terbaik pada pandangan REMAJA di Miss Universe 2021.

Argentina
Diperbuat daripada plastik terbuang yang telah dicairkan, ia merupakan simbol kepada glasier yang semakin mencair di Argentina disebabkan impak pemanasan global.

Aruba
Kostum ini mewakili tanaman lidah buaya yang terkenal di Aruba. Ia begitu penting sehinggakan simbol lidah buaya ada pada jata negara tersebut. Kini, Aruba masih maneruskan penanaman lidah buaya secara besar-besaran dan ia digunakan dalam pembuatan produk penjagaan kulit serta perubatan.

Curacao
Dalam tempoh 30 tahun yang lepas, 50 peratus daripada populasi terumbu batu karang di seluruh dunia telah pupus. Warna merah pada kostum ini diinspirasikan daripada terumbu ‘fire coral’ di Curacao. Selain rekaannya yang cantik, kostum ini turut mempromosikan impak pemanasan global terhadap habitat ‘fire coral’ di Afrika, Eropah dan Tengah/Selatan Amerika.

Czech Republic
Sebagai penyokong kempen kesedaran hak wanita, kostum ini bukan saja menampilkan aksesori kepala berbentuk singa sebagai simbol kekuatan serta keberanian seorang wanita. Pada tangannya juga mempunyai tulisan berbunyi, “Pertahankan Hak Wanita Di Seluruh Dunia,” dan “Saya mewakili satu suara tetapi bersama, kita boleh berjaya.”

El Savador
Lain daripada yang lain! Kostum ini mewakili monumen keamanan di El Savador. Saban tahun, sebarang pertunjukan demonstrasi untuk menentang keganasan akan dilangsungkan di sana.
Lilin pada bahagian bahu/gaun dan corak seakan tangan berdarah pada bahagian bawah gaun adalah simbol kepada kes ‘femicide’. Femicide bermaksud pembunuhan yang disengajakan terhadap wanita disebabkan jantina dan malangnya, ia masih berlaku di El Savador.

India
Biarpun kostum India ini mirip pakaian tradisional lenhga yang biasa kita saksikan, makna di sebalik kostum ini adalah lebih mendalam. Ia adalah satu bentuk penghargaan kepada kaum wanita di mana payung yang dibawanya merupakan simbol naluri dan sifat ingin melindungi yang ada pada diri seorang wanita terutamanya terhadap anak mereka.

Ireland
Sejak usia 17 tahun, wakil Ireland ini telah berkhidmat dalam bidang perubatan.
Kostum hijau keemasan ini merupakan penghargaannya kepada barisan hadapan (frontliner) yang telah bertungkus-lumus sewaktu musim pandemik. Selayaknya, mereka digelar healthcare hero. Dia juga ingin melihat para jururawat dibayar setimpal dengan perkhidmatan mereka menerusi kostum ini.

Morocco
Nampak seakan persalinan kaftan biasa saja. Namun kostum nasional yang disarungkan oleh Kawtar Benhalima dari Morocco ini merupakan persalinan yang cukup elegan; siap dengan barangan kemas mewah dan fabrik yang mewakili sejarah 12 abad di Morocco. Warna hijau pada fabrik baldu adalah simbolik kepada agama Islam yang merupakan agama rasmi di Morocco. Talk about representation.


Nigeria
Diilhamkan daripada topeng muka tradisional puak Mnwana di Nigeria, kostum ini cantik dengan hasil kerja hiasan manik. Ia bertujuan untuk meraikan kekayaan warisan budaya Nigeria dan merupakan simbol kekuatan wanita. Topeng muka dempak ini ibarat perlindungan yang diberikan oleh Mnwana kepada kanak-kanak dan wanita daripada serangan serta penderaan.

Peru
Keseluruhan kostum ini menyala terang dengan bantuan lampu LED! Wakil Peru iaitu Yely Rivera ingin menghargai tempat kelahirannya di kaki gunung berani menerusi kostum ini. Katanya, dia merupakan Ratu Putih (White Queen) di daerah Andes sambil membawakan mesej perpaduan serta keamanan.

Filipina
Jika pada tahun 2019, Filipina pernah memenangi kategori Kostum Nasional menerusi ilham haiwan burung helang. Kali ini, wakil Filipina iaitu Beatrice Luigi Gomez ‘menjadi’ seekor naga pula. Ia diilhamkan daripada kisah dongeng rakyat Filipina bernama Bakunawa. Kostum ini lengkap dengan bahagian cape di bahagian belakang yang kelihatan seperti sisik serta bahagian bahu berbentuk naga.

Singapura
Bukan mudah untuk menceritakan segala-galanya tentang negara kita ke dalam satu rekaan kostum. Namun Singapura mampu melakukannya menggunakan corak pada kain kostumnya yang kelihatan seperti lukisan bandaraya Singapura. Cantik menggunakan warna bendera rasminya iaitu merah dan putih, kostum rekaan Frederick Lee ini juga menampilkan bintang sebagai aksesori kepala dan ia mewakili bintang pada bendera Singapura.

Afrika Selatan
Bodysuit putih yang diilhamkan daripada burang merpati ini bukan bodysuit biasa-biasa. Ia adalah mesej wakil Afrika Selatan bernama Lalela Mswane ini yang inginkan keamanan. Mesej ini merujuk semula kepada masa silam Afrika Selatan yang pernah bergelut dengan isu hak rakyat yang tidak sama rata.
Kostum ini juga ‘kena’ dengan kontroversi yang melanda pembabitan Afrika Selatan di Miss Universe 2021. Untuk pengetahuan, Lalela tidak menerima sokongan kerajaan negaranya disebabkan lokasi pertandingan Miss Universe 2021 di Israel. Kata Lalela, bukan lokasi yang harus dijadikan tumpuan tetapi niat menghantar wakil untuk bertanding di sana.
Apapun, kami gemar saksikan aksi Lalela yang menari ballet dengan kostum ini!

Sepanyol
Pejam celik, arkitek terkenal Sepanyol iaitu Antoni Gaudi telahpun meninggal dunia selama 95 tahun. Kostum ini diinspirasikan daripada hasil kreativiti arkitek tersebut dan ia mirip salah satu karya seni Gaudi paling ikonik iaitu ‘Salamandra’ di Barcelona.

Thailand
Seluruh rakyat Malaysia mengenali ilham sukan Muay Thai pada kostum Thailand ini. Tapi kali ini, sut sukan boxing tradisional ini diberikan suntikan elegan apabila bahagian badannya diperbuat daripada lingkaran tali nipis dan manik. Ia dinamakan sebagai Nang Kard yang bermaksud Wanita Kuat.
Mengambil semangat juang dalam diri seorang wanita, kostum ini selari dengan ‘tagline’ Miss Universe Thailand pada tahun ini iaitu Power of Passion.

USA
Wow! Wakil Amerika Syarikat, Elle Smith hadir sebagai figura trofi keemasan yang selalu diserahkan kepada pemenang acara anugerah terkemuka di Hollywood seperti Golden Globes, Oscars dan Emmys. Siap ada karpet merah lagi untuk Elle di atas pentas tersebut.
*
Dan pemenang bagi kategori Kostum Nasional pada tahun ini ialah..
NIGERIA!
Bukan saja ia unik dan kemas, persembahan menyakinkan Maristella Okpala juga membantu Nigeria memastikan kemenangan ini.

Menurut pereka kostum dari Filipina, Kennedy Jhon Gasper yang bertanggungjawab menyiapkan kostum Nigeria ini, ia merupakan kostum kedua yang pernah dihasilkannya untuk wakil Miss Universe. Sebelum ini, Kennedy pernah menyiapkan kostum wakil Cameroon di Miss Universe 2020, Kossinda Angeles.
Untuk kali pertama dalam tempoh 7 tahun, kategori ini tidak dimenangi oleh negara dari benua Asia. Terdahulu, Miss Universe telah menobatkan pemenang Kostum Nasional dari Indonesia (2014), Thailand (2015), Myanmar (2016), Jepun (2017), Laos (2018), Filipina (2019) dan Myanmar (2020).
ARTIKEL BERKAITAN : 15 Kostum Nasional Menarik Ratu Cantik. Ada Yang Menarik, Ada Yang Pelik! – REMAJA
BACA LAGI : 4 Kostum Nasional Di Miss Universe 2020 Suarakan Isu Panas! – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

