Setelah penantian selama tiga tahun, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu oleh Miss Supranational Malaysia 2022, Melisha Lin tiba jua semalam.
Bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Melisha telahpun ‘terbang’ ke Poland bagi menyertai pertandingan Miss Supranational 2022 sambil ditemani oleh para penyokongnya yang setia menunggu waktu perlepasan.
Wakil Malaysia berusia 24 tahun itu manis berkebaya songket hasil ciptaan Senorita Wedding Planner dan ternyata teruja dengan detik tersebut.
“Kepada kesemua rakan dunia ratu cantik saya, wakil negara dan peminat yang datang dari sepelusuk negara untuk menghantar saya, terima kasih banyak-banyak.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya dan sama-sama ‘standing with me in the eyes of the world’. Saya akan lakukan yang terbaik demi membuatkan kita semua bangga. Teruskan menyokong dan mengundi saya di aplikasi Miss Supranational,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN : Misi Menang Di Poland, Melisha Lin Dimahkotakan Tiara Miss Supranational Malaysia Bernilai USD1.5 Juta! – REMAJA
*
Dalam pada itu, sewaktu ditemui REMAJA ketika majlis pemahkotaan tiara Miss Supranational rasminya pada 17 Jun lalu, Melisha sempat memaklumkan bahawa dia telahpun berkenalan dengan wakil-wakil ke Miss Supranational 2022 yang lain.
“Saya telah mendekati sebahagian daripada mereka dan seringkali berhubung. Kami tidak sabar untuk bertemu nanti dan saling mengucapkan tahniah kepada wakil yang baru saja dimahkotakan,” tambahnya.
Apabila ditanya mengenai tarikan Miss Supranational kepada diri Melisha sendiri berbanding pertandingan ratu cantik antarabangsa lain, graduan Pengurusan Pemasaran ini berkongsi maksud di sebalik gelaran ‘Supranational’ itu dan mengapa ia bermakna buatnya.
“Tahukah kamu, Supranational bermaksud ‘The Power to Influence’ atau ‘Kuasa untuk Mempengaruhi’. Saya selalu cuba mencipta impak dan mempengaruhi belia di luar sana.
“Saya mempunyai platform yang memberi kesedaran tentang kesihatan mental bernama YANA (You Are Not Alone) dan itulah yang saya gemar lakukan. Saya ingin sekali kembangkan YANA menjadi pergerakan antarabangsa yang memberi bantuan serta kesedaran mengenai kesihatan mental,” katanya.
Pada kesempatan ini, REMAJA mengucapkan all the best
buat Melisha Lin dan semoga perjalanannya di Poland akan berjalan lancar dalam misinya untuk membawa pulang mahkota ‘Blue Crown’ yang diimpi-impikan seluruh rakyat Malaysia itu.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.