Berita

Tempat Kelahiran Jadi Pilihan, Stacy Bakal Jayakan Konsert Solo Di Sabah!

Share

Penyanyi versatil, Stacy Anam, akhirnya bakal menunaikan impian untuk mengadakan konsert solo sulung di tempat kelahirannya, Sabah.

Konsert tersebut bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dan ia dijangka menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya di negeri di bawah bayu itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Stacy Tarik Diri, Penganjur Konsert Sumandak Stars Tampil Beri Respons -“Kami Tiada Niat Nak Bandingkan..”

Pelantun lagu popular Pelangi Senja itu berkongsi berita gembira itu dengan peminatnya semasa membuat persembahan di sebuah acara di SICC, Kota Kinabalu.

Meskipun belum mendedahkan maklumat terperinci mengenai tarikh dan butiran lanjut konsert tersebut, Stacy menzahirkan rasa teruja dan berbesar hati dapat memulakan konsert solo di tanah kelahirannya.

“Saya akan mengadakan konsert solo di SICC. Jadi saya berharap semua dapat datang sokong untuk konsert yang terulung daripada saya.

“Saya sangat berbesar hati sebab dapat mulakan di tempat kelahiran saya sendiri iaitu di Sabah. Doa-doakan supaya dipermudahkan urusan kami nanti,” katanya.

Untuk pengetahuan, ini akan menjadi konsert solo pertama Stacy di Sabah. Sebelum ini, Stacy hanya pernah mengadakan konsert solo di luar Sabah, dengan persembahan terakhirnya berlangsung pada 25 Februari tahun lalu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, Stacy mengejutkan ramai apabila memutuskan untuk tarik diri daripada konsert Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku.

Keputusan itu mendapat sokongan ramai netizen yang menyifatkan ia sebagai langkah yang tepat, memandangkan Stacy layak untuk mengadakan konsert solo sendiri, sesuai dengan pencapaian dan reputasinya dalam industri muzik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath