Tempoh Period Pun Boleh Dapat Ganjaran Pahala Di Bulan Puasa, Ini Amalannya!

Share

Alhamdulillah, esok bermulalah hari pertama di bulan Ramadan. Ini juga merupakan bermulalah ibadah puasa terutamanya buat orang Islam di Malaysia. Walaupun kita masih dibelengu pandemik Covid-19, namun ini bukanlah penghalang untuk umat Islam mengutip pahala di bulan mulia ini.

Sumber Gambar : Pexels

Namun, sering menjadi  tempoh period atau keuzuran seperti haid dan nifas sebagai kekangan kita untuk merebut ganjaran yang ditawarkan Allah SWT dalam bulan Ramadan.

Ini 7 amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang dalam keuzuran.

1. Menyediakan makanan berbuka
Boleh sediakan untuk sesiapa saja. Masak dan sediakan untuk ahli keluarga sendiri pun boleh dapat pahala orang yang berpuasa.

Kalau tak sempat masak, korang boleh beli saja dan berikan kepada orang lain untuk berbuka.

2. Menyediakan makanan sahur
Selain mendapat pahala memberi makan kepada orang lain, ia juga memberi peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur dengan qiyamullail.

Qiyamullail tidak semestinya solat. Boleh dalam bentuk zikir, istighfar dan doa. Korang boleh doa banyak-banyak, waktu mustajab ni.

3. Menjauhi larangan agama
Jangan kerana tidak puasa korang terus menghabiskan hari 10 terakhir Ramadan dengan perkara yang lalai dan sia-sia. Manfaatkan masa dengan kebaikan. Jaga mata, jaga telinga, jaga mulut dan jaga anggota badan daripada perkara yang dilarang.

4. Banyakkan berdoa dan berzikir
Sepanjang bulan Ramadan adalah waktu mustajab berdoa. Lebih-lebih lagi ketika waktu berbuka, waktu bersahur dan 1/3 malam. Sambil-sambil tolong siapkan makanan tu, banyakkan berdoa.

5. Mengingatkan ahli keluarga kepada kebaikan
Ingatkan ahli keluarga lelaki supaya solat fardhu dan solat tarawih berjemaah di masjid. Jika ada ahli keluarga dalam kalangan anak kecil, korang boleh tolong jagakan. Mudahkan ahli-ahli keluarga lain untuk beribadat.

6. Menyibukkan diri menuntut ilmu


Manfaatkan masa dengan menghadiri majlis ilmu, mendengar ceramah agama, membaca buku ilmiah, mendengar bacaan al-Quran, membaca tafsir al-Quran dan sebagainya. Paling penting, korang dapat menambahkan amal kebajikan dan manfaat buat diri.

7. Banyakkan bersedekah dan derma
Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Rebutlah pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadan dengan bersedekah. Lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir Ramadan. Banyakkan sedekah.

Published by
Nana