Berita tentang penularan wabak Covid-19 ini tidak lagi asing bagi manusia, tetapi apa yang menghairankan adalah jika kita dengar berita tentang haiwan juga perlu menjalani ujian swab test setelah menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Kejadian ini terjadi di India, dimana seekor tenggiling terpaksa menjalani ujian tersebut setelah ia ditemui di rumah seorang penyeludup yang dijangkiti virus itu.
Tenggiling tersebut telah ditemui selepas serbuan dilakukan keatas rumah si penyeludup di daerah Mayurbhanj, Odisha.
Menerusi perkongsian rakaman video daripada Awani, ianya menunjukkan beberapa pegawai kesihatan di India sedang mengambil sampel daripada hidung haiwan seberat 8 kilogram ini. Pegawai Perhutanan Daerah juga telah mengarahkan agar tenggiling itu menjalani proses kuarantin sebelum dibebaskan semula.
Menurut kenyataan WWF (Tabung Perlindungan Haiwan Liar), tenggiling adalah antara yang paling banyak diperdagangkan walaupun dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Tenggiling juga sering diburu sebagai makanan eksotik, dan dipercayai kulit mamalia bersisik itu mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional.
Raja Bomoh Kembali Dengan Ritual Tolak Banjir! Setelah Dilabel Khurafat, Ancam Saman RM300 Juta Pula
Negara sudah dilanda musibah banjir pun, macam-macam perangai pelik masih dilakukan masyarakat.
Berikutan musibah banjir besar yang melanda seluruh negara baru-baru ini akibat hujan lebat berterusan, pelbagai inisiatif bagi membantu serta meredakan keadaan bencana telah dilakukan oleh masyarakat demi membantu mangsa.
Slogan #RakyatJagaRakyat turut lantang dilaungkan selama beberapa minggu ini sebagai pendorong semangat kepada orang ramai untuk terus menghulurkan bantuan.
Tapi bantuan yang satu ini memang pelik dan tidak masuk akal dari sudut agama. Siapa lagi kalau tidak lain tidak bukan individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh iaitu Ibrahim Mat Zain.
Menerusi satu video berdurasi 25 minit 9 saat, ia menunjukkan Ibrahim dan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ sedang duduk bersila di sebuah dataran dekat Teluk Intan, Perak. Mereka tampil dalam persalinan rasmi masing-masing – Ibrahim memakai kot hitam dan selempang merah manakala Puteri Zaleha dalam persalinan ungu cair siap dengan tiara.
Beberapa upacara yang dipercayai bercanggah daripada ajaran Islam telah dilakukan untuk menolak musibah banjir.
Ini termasuklah ritual tepung tawar menggunakan bahan seperti beras, kunyit, bunga-bungaan dan dedaun yang kemudian dihanyutkan ke dalam air. Di hadapan mereka berdua pula adalah kitab suci Al-Quran. Puteri Zaleha juga berkata dia dapat meramalkan Teluk Intan akan dilanda banjir tidak lama lagi.
Susulan video tular tersebut, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana cuba mencela dan menghina agama Islam.
‘Raja Bomoh’ Saman Semula!
Bagaimanapun, Ibrahim yang sebelum ini sudah sinonim menerima kecaman warganet atas upacara pelik yang dilakakannya tampil bersedia dengan reaksi balas setelah laporan kertas siasatan itu diketahui umum.
Menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook Datok Ibrahim Md Zin sebentar tadi, Ibrahim berkata dia telahpun berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan saman berjumlah RM300 juta terhadap JAIPk kerana mendakwanya syirik dan khurafat.
“Tujuan saya buat itu supaya banjir jangan naik besar di Teluk Intan. Saya buat supaya banjir jangan melanda Sungai Manik, Labu Kubong, Kampung Gajah, Parit dan Bagan Datuk.
“(Saya) berdoa dan menggunakan daun serta kayu dilepaskan (ke sungai). Tujuan saya untuk selamatkan tapak perkuburan. Jangan hilang makan diraja. Orang tua saya dan keturunan saya banyak dikebumikan di Teluk Intan.
“Bukan tujuan saya untuk berbangga atau (mencari) publisiti,” jelasnya.
Sementara itu, negeri Perak dilaporkan telah menetapkan fatwa untuk mengharamkan segala ajaran serta perbuatan yang bercanggah dengan agama Islam oleh Ibrahim.
Untuk pengetahuan korang, Ibrahim pernah melakukan ritual pada tahun 2017 ‘melindungi’ Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara setelah kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Sebelum itu pada tahun 2014, beliau pernah mencuri tumpuan dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dengan ritual menggunakan ‘sampan’, teropong buluh dan buah kelapa demi mencari pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang tanpa dikesan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Terhibur Dipanggil ‘Pakcik Agong’, YDPA Kongsi Gelagat Mencuit Hati Penduduk Sabah Ketika Kembara Kenali Borneo
Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempat berkongsi beberapa momen mencuit hari yang berlaku semasa lawatan Kembara Kenali Borneo di Sabah.
Titahnya, ada pihak yang menggelarnya sebagai ‘Pakcik Agong’ dan ‘Abang Agong’, malah menggelar Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ‘Datin Permaisuri’.
“Saya terharu apabila anak muda panggil saya Pakcik Agong, ada juga yang panggil saya Abang Agong… ada juga panggil gong, gong, gong. Ianya amat menghiburkan saya,
“Raja Permaisuri…(ada yang memanggilnya) Datin Permaisuri, Ada yang memuji isteri saya yang cantik. Ini semua saya tidak dapat saya lupakan dan rakyat Sabah akan kekal di hati saya selama-lamanya,” titah Baginda, semasa majlis makan malam kerajaan Sabah di Sabah International Pusat Konvensyen semalam.
Al-Sultan Abdullah berkata coretan ini telah menjadi sebahagian daripada pengalaman berharga baginda di Sabah.
Beliau berkata, lawatan itu juga memberi peluang kepadanya untuk mendekati rakyat Sabah terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Saya bertemu dengan mereka, dan bersalaman dengan mereka, tanpa mengira latar belakang mereka kerana pada saya, kita semua sama… kita rakyat Malaysia.
“Saya dapat merealisasikan perkara ini di Sabah. Saya sudah memandu sendiri sejauh 759km. Saya harap saya dapat menamatkan (keseluruhan) 985km di negeri ini. Saya benar-benar terharu dengan keramahan dan keramahan penduduk Sabah,” katanya.
Semasa lawatan itu, Seri Paduka bertitah kedua-dua beliau dan Tunku Azizah telah mengambil maklum tentang isu yang dibangkitkan rakyat di negeri itu.
“Saya juga akan lakukan bahagian saya di peringkat persekutuan. Apabila saya bertemu PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya akan menyuarakan apa yang patut disuarakan,” titah baginda lagi.
Hadir pada majlis makan malam itu ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dan dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Baginda akan melengkapkan ekspedisi melawat Sabah sejauh 985 km hari ini (7 Sept) sebelum menuju ke Brunei. Jelajah itu akan berakhir di Sarawak pada 13 September.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Utusan Malaysia
“Mak Tertunggu-Tunggu Akak Call Seperti Janjinya Tapi..” Adik Kongsi Kisah Sedih
Ternyata penantian seorang ibu yang menunggu panggilan telefon dari anaknya akan terus menjadi sedih berpanjangan apabila anak keduanya, Siti Nur Ies’mawida, menjadi korban dalam gempa bumi yang melanda Lombok semalam
Allahyarham Siti Nur Ies’mawida atau mesra disapa Angah dalam kalangan ahli keluarga meninggal dunia apabila rumah tumpangan yang didudukinya di Sembalun runtuh sebelum dihempap tembok selepas selesai misi menawan Gunung Rinjani yang terletak di Lombok Timur beberapa jam sebelum kejadian.
REMAJA berkesempatan menghubungi adik kepada arwah iaitu Siti Nur Irsalina Ismail, 23 tahun untuk berkongsi kenangan bersama arwah kakaknya yang kesemuanya perempuan (tiga beradik). Mesra disapa El, katanya buat masa ini kedua ibu bapanya termasuk mereka dua beradik masih sukar menerima berita yang sangat menyedihkan ini.
“Pagi ini kedua-dua abang ipar saya sudah sampai di Lombok. Mengikut perancangan jenazah akan dibawa balik ke sini apabila selesai semua urusan kerana saya difahamkan, penerbangan dari Lombok akan dibawa pula ke Jakarta. Kemudian barulah dibawa balik ke sini,” katanya urusan jenazah akan dilakukan di Masjid Ar-Rahimah, Desa Pandan.
Jelas El, apa yang lebih menyedihkan dua malam sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat berkomunikasi dengan arwah kakaknya yang begitu gembira kerana berjaya menawan puncak Gunung Rinjani. Macam-macam dia cerita, nampak gembira sangat. Angah beritahu perancangannya untuk pulang selepas selesai semua itu.
“Kami menggunakan aplikasi Whatsapp dan arwah Angah cuba buat video call tapi suasana sekeliling gunung yang gelap menyukarkan video call dilakukan. Angah ada berjanji akan telefon semula mak pagi esok selepas cuaca cerah,”katanya dalam nada kesedihan.
Jelas El, dia sama sekali tidak menyangka kejadian ini berlaku malah mengetahuinya pun sudah agak lewat.
“Pagi itu Mak pergi ke rumah Along. Dalam pada itu, mak cuba juga hubungi Angah bertanya di mana dia ketika itu. Mungkin naluri mak ada berkata sesuatu tetapi rupanya semasa emak bertanya di mana Angah, kejadian sudah pun menimpa dan difahamkan Angah sudah meninggal sekitar jam 8 pagi,” katanya memaklumkan gempa itu berlaku sekitar jam 5.45 minit pagi dan mencederakan enam pendaki yang lain.
Kongsi El lagi, dia merupakan ahli keluarga pertama mendapat tahu berita menyedihkan ini tetapi sekuat mana pun dia menahan tangisannya, air matanya tertumpah.
“Ketika itu saya seorang di rumah. Saya call akak beritahu kejadian ini dan minta agar akak tak beritahu mak lagi sebab takut mak terperanjat. Saya kemudian bergegas ke rumah akak dan dari situlah kami memaklumkan kepada kedua orang tua,” katanya memaklumkan emaknya, Mazinah Mahmood seakan sukar menerima kerana masih percaya yang anaknya itu akan menelefonnya.
“Mak terlalu sedih. Dia masih cuba whatsapp bertanya di mana Angah berada tetapi kejadian ini benar-benar terjadi,” katanya memaklumkan arwah kakaknya itu seorang yang baik hati, sangat rapat dengan keluarga, sangat memahami dengan semua orang, pandai berdikari dan dia sendiri rapat dengan arwah kakaknya itu.
Tambah El lagi, arwah Angahnya mula berjinak-jinak dengan pendakian gunung dan sudah banyak kali menawan puncak gunung dan bukit di Malaysia termasuk di Perak dan sebagainya.
“Menawan puncak Rinjani ini adalah projeknya yang terbesar dan mungkin paling mencabar. Alhamdulillah, arwah Angah berjaya menawannya tetapi rezekinya sudah tertulis di situ dalam kejadian gempa ini,”katanya memaklumkan kakaknya itu sudah lima tahun mendirikan rumah tangga bersama Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30 dan belum dikurniakan anak lagi.
Dalam pada itu akhbar melaporkan seorang rakan pendaki, Haziq Wafiq, 26 berkata dia dan Allahyarham menyertai 16 warga Malaysia lain dalam program untuk mendaki gunung itu
“Semasa gempa itu berlaku, kami terdengar arwah ada meminta tolong dengan suara yang lemah. Lama kelamaan beransur senyap. Apabila berjaya dikeluarkan arwah sudah tidak sedarkan diri dari tempat kejadian. Dalam perjalanan ke Klinik Desa Lombok Timur, dia sedar semula dan masih ada reaksi.
“Masa sampai di klinik desa, doktor bagi dia rawatan tetapi dia meninggal dunia sekitar jam 8 pagi ini,” katanya.