Berita

Tengku Natasya Pilihan Hati Tengku Muhammad Iskandar, Istiadat Perkahwinan Berlangsung 3 Hari

Share

Selepas istiadat persandingan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar yang berlangsung pada 22, 23 dan 25 Ogos lalu, kini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal menerima kehadiran seorang lagi menantu.

Menerusi perkongsian di aplikasi Facebook Kesultanan Pahang, istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah akan dilangsungkan pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, turut memaklumkan, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal yang diadakan di Taman Duta, pada Isnin semalam.

Majlis Adat Midodareni adalah salah satu acara sempena Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Tengku Muhammad Iskandar dengan Tengku Natasya Puteri.

Terdahulu, baginda berdua turut berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Siraman di lokasi yang sama kelmarin.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang; Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana.

Tunku Azizah Aminah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Tengku Natasya Puteri di Taman Duta pada Sabtu.

Sumber: Sinar Harian

Sumber Foto: FB Kesultanan Pahang

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE