Kementerian Pendidikan telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan akan bermula 20 Januari ini ditangguhkan atas faktor peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.
Namun begitu bagi pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara dibenarkan untuk menghadiri kelas secara bersemuka.
Dalam satu kenyataan media yang dimuatnaik di laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia, semua murid sekolah rendah dan sekolah menengah bermula tingkatan satu sehingga lima akan menjalani kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Bagi pelajar sekolah berasrama penuh yang sudahpun mendaftar dan berada di sekolah. Beberapa ketetapan dan peraturan telah digariskan sebagai panduan.
Sekolah Berasrama Penuh
*Murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP(Pengajaran & Pembelajaran) secara dalam talian di sekolah atau boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR (Pengajaran & Pembelajaran Di Rumah). Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
*Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Asrama Sekolah Harian
*Murid Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• Boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah atau boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
*Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• Mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Selain itu, kenyataan itu juga menyebut, keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah.
Sumber: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
Selepas Song-Song Couple, Giliran Pasangan Ku Hye Sun Dan Ahn Jae Hyun Pula Bercerai
Pelakon, Ku Hye Sun mendedahkan perbualan Kakaotalk bersama suaminya, Ahn Jae Hyun yang menunjukkan bahawa mereka berdua bersetuju untuk bercerai.
Dalam perbualan tersebut juga melihatkan bahawa Ahn Jae Hyun yang inginkan perpisahan tersebut. Oleh itu, Ku Hye Sun meminta agar suaminya itu berjumpa dengan ibu mertuanya untuk menerangkan tentang perpisahan tersebut.
Namun, pelakon drama Cinderella And Four Knights itu mengatakan bahawa dia sibuk dan akan bertemu dengan ibu mertuanya selepas perpisahan mereka sah. Itu membuatkan Ku Hye Sun berang dan menuduh suaminya itu melebihkan karier daripada kehidupan peribadinya itu.
Bagaimanapun, Ku Hye Sun kemudiannya memadam foto tersebut di laman Instagramnya.
Agensi Sahkan
Sementera itu, agensi kedua-dua pasangan tersebut iaitu HB Entertainment mengeluarkan kenyataan rasmi seterusnya mengesahkan perkara tersebut.
“Hello, kami HB Entertainment ingin memberikan penjelasan berkaitan dengan dua actor di bawah agensi kami iaitu Ku Hye Sun dan suaminya, Ahn Jae Hyun.
“Walaupun ramai yang mendoakan kebahagian berpanjangan buat pasangan tersebut namun kedua-duanya kini sudah tidak sehaluan dan bersetuju untuk berpisah.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab keatas mereka, kami hanya inginkan yang terbaik buat mereka berdua. Kalau ikut perancangan asal, mereka bersetuju untuk memfailkan penceraian meraka bulan ini dan bercerai secara sah pada September depan.
“Malah, Ku Hye Sun sendiri sudah menyediakan draf kenyataan media untuk dikongsi kepada umum. Bagaimanapun, dengan berita yang tersebar pagi tadi (semalam) amat mengejutkan kami semua terutama apabila perkongsiannya itu menggambarkan seperti dia tidak mahu bercerai.
“Namun kami menghormati kehidupan peribadinya. Oleh itu, kami mengharapkan bahawa kedua-duanya okay dan kami juga memohon maaf kepada mereka yang turut terluka dan risau dengan berita ini,” tulis kenyataan tersebut.
Kontrak Eksklusif Ku Hye Sun Dengan HB Entertainment Batal?
Dalam pada itu, Ku Hye Sun bagaimanapun sekali lagi bersuara menolak kenyataan yang dikeluarkan agensinya itu. Malah, dia juga turut menuduh bahawa suaminya memburuk-burukkan dirinya kepada ketua pegawai eksekutif agensi tersebut.
Itu membuatkan khabar angin tersebar bahawa kontrak eksklusif Ku Hye Sun dengan agensi tersebut telah ditamatkan serta-merta.
Malah, ketiadaan foto Ku Hye Sun di laman web rasmi agensi tersebut menguatkan lagi andaian netizen.
Susulan itu, wakil agensi tersebut tampil menafikan perkara tersebut.
“Khabar angin itu tidak benar. Kontrak kami masih lagi ada. Kami tidak memadam profil Ku Hye Sun dari laman web agensi kami.
“Sebenarnya, laman web tersebut sudah setahun tidak diupdate, Ku Hye Sun sah menyertai HB Entertainment pada Jun lalu. Sebab itu, dia tiada dalam laman web itu,” jelas wakil tersebut.
Hubungan Berantakan Awal Tahun Ini
Rakan rapat pasangan tersebut mendedahkan bahawa hubungan Ku Hye Sun dan Ahn Jae Hyun mula goyah, awal tahun ini.
“Hujung tahun lalu, mereka masih lagi sweet antara satu sama lain, Cuma awal tahun ini, mereka dah mula jauh. Keadaan makin teruk bila Ku Hye Sun menyertai agensi Ahn Jae Hyun pada Jun lalu,” kongsi individu tersebut.
Untuk pengetahuan, pasangan tersebut bertemu ketika sama-sama berlakon dalam drama Blood dan berkahwin pada tahun 2016 lalu.
Ramai yang menyukai pasangan tersebut kerana kedua-duanya sangat sweet terhadap satu sama lain. Itu membuatkan netizen terkejut dengan berita ini.
Setakat ini, pihak Ahn Jae Hyun mengambil langkah berdiam diri dan tidak memberikan apa-apa kenyataan rasmi dan hanya menggunakan agensi sebagai orang tengah.
Sumber: Soompi
Pertemuan Mufti Wilayah Bersama JPN, Tertera Muhammad Sajjat BIN Kamaruz Zaman Berjantina LELAKI
Ramai masih membicarakan isu Muhammad Sajjat bin Kamaruz Zaman yang dilihat bertelekung ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci. Di saat ramai membicarakan soal aurat kerana dirinya bersolat di ruang wanita, orang ramai pastinya mahu satu pengesahan adakah jantina sebenar dirinya. Khunsa atau lelaki?
Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menjawap semua persoalan mengenai jantina ahli perniagaan tersebut.
Bacalah penerangan penuh dari Mufti Wilayah Persekutuan ini. Semoga apa yang menimpa Sajjat juga menjadi asbab untuk menjadi pengajaran juga buat kita semua.
INGATAN UNTUK SAJAT DAN SEMUA UMAT ISLAM
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Saya doakan saudara Sajat berada dalam taufiq, hidayah dan ‘afiah sentiasa. Isu ini menjadi hangat sehingga tempiasnya kena juga kepada Mufti Wilayah Persekutuan. Jika dijawab, akan ada yang bertanya, “Kenapa begitu, kenapa tidak begini?”. Jika tidak dijawab, akan ada yang bertanya, “Mengapa berdiam diri?”. Itulah kelazimannya.
Berhubung isu berkaitan Transgender, kami telah mengulasnya dengan panjang lebar dalam beberapa buah artikel di laman web sejak tahun 2015:
1. QALAM MUFTI SIRI KE-29: WASPADA ANCAMAN NORMALISASI LGBT .
2. AL-KAFI SIRI KE-578 : BUDAYA LGBT, HADAPILAH DENGAN ILMU
3. BAYAN LINNAS SIRI KE-5: ISU TRANSGENDER, TASYABBUH ATAU PENYERUPAAN
4. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-202: HUKUM HAKAM BERKAITAN KHUNSA
Disamping memberikan penjelasan melalui penulisan, saya juga mengadakan lawatan berkala untuk bertemu komuniti Transgender bagi menyampaikan mesej dakwah dan rahmah Islam. Dalam masa yang sama, kami juga tidak lupa untuk menegaskan kewajipan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.
Saya mengambil maklum isu yang sedang berlaku berhubung Sajat pada sebelum, semasa menunaikan umrah di Mekah dan kini di Madinah. Untuk makluman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terlibat dalam pengesahan identiti jantina beliau yang diuruskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2018. Justeru, jika berhubung pengesahan jantina melibatkan pakar perubatan, ianya berada di bawah urusan pihak JAKIM.
Nasihat
Saya nasihatkan seperti berikut:
1. Fahamilah maksud sebenar ibadah umrah.
• Imam al-Nawawi pada awal mukadimah kitabnya menyeru kepada bakal haji dan umrah supaya bertaubat daripada segala maksiat dan segala perkara yang makruh serta berusaha mengislahkan diri. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 48)
• Apakah niat kita menunaikan umrah? Ambil waktu yang sunyi, hening di tengah malam semasa bermunajat kepada Allah SWT untuk bertanya kepada diri kita soalan tersebut. Saya amat pasti, tidak ada yang menunaikan umrah hanya untuk melancong dan berseronok. Umrah adalah pengembaraan rohani seseorang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Fikir terlebih dahulu sebelum bertindak.
Adakah tindakan itu menguntungkan diri, keluarga dan negara atau sebaliknya? Dalam urusan ibadah, kita wajib mengikut syarak, bukannya mengikut hati dan perasaan. Apatah lagi jika seseorang itu dikenali ramai, sudah tentu apa jua bentuk tindakannya akan diperhatikan. Yahya bin Sa’id al-Ansari berkata:
لا تفعل فإنك إمام منظور إليك
Maksudnya: “Jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, kerana anda di hadapan mereka yang memerhati anda.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/357)
3. Agensi pengelola umrah wajib bertanggungjawab sepenuhnya.
Mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mereka mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat. Sepatutnya sentiasa memberi panduan dan peringatan kepada jemaah seliaan mereka agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.
4. Allah SWT Maha Kuasa
Allah SWT tidak perlu tunduk kepada kehendak sesiapa untuk memberikan dosa atau pahala. Dia boleh melaksanakannya pada bila-bila masa, tempat dan keadaan yang dikehendaki-Nya. Sedikit firman-Nya untuk renungan kita:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّـهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.”
(Surah Fatir: 45)
5. Jujurlah kepada diri sendiri.
Seseorang itu lebih tahu hakikat dirinya. Justeru, jadilah kita sebagai diri kita yang hakiki, bukan dibuat-buat. Allah SWT berfirman:
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا
Maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
(Surah al-Isra’: 7)
6. Jangan mudah memberi komen.
Hal ini saya tujukan kepada semua termasuk diri ini terutamanya netizen supaya memahami latarbelakang isu terlebih dahulu disamping meraikan adab, tabayyun (selidik) dan uslub (gaya) dakwah yang akan memberi banyak kesan samada positif atau negatif. Gunakan bahasa yang baik atau teguran yang membina. Budayakan dan amalkan prinsip al-din al-nasihah (agama itu adalah nasihat) mengikut kehendak Nabi SAW.
Pendirian (Mauqif) Dalam Isu Jantina
Atas rasa amanah dan tanggungjawab, PMWP mengambil inisiatif untuk bertemu pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 3 Februari 2020 bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial.
Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman. Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.
Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita. Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1., pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah. Dokumen yang diperlukan adalah:
• Perintah mahkamah yang mengandungi butir-butir pengisytiharan jantina baru pemohon.
• Surat pengesahan doktor kerajaan (jika ada)
• Surat pengesahan pembedahan penukaran jantina yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan
• Sijil lahir (asal dan salinan)
Sila rujuk keputusan Nanthan Balan Tan vs Jabatan Pendaftaran Negara.
Terdapat kaedah fiqh yang masyhur menyatakan:
نحن نَحْكُم بالظواهر والله يتولى السرائر
Maksudnya: “Kita menghukum berdasarkan apa yang terzahir, dan Allah menguruskan apa yang tersembunyi.”
Selain itu, saya juga berpegang dengan kaedah berikut:
الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya: “Asal kepada sesuatu perkara kekal seperti sebelumnya”
Maka, pendirian PMWP berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki.
Hukum Umrah Transgender
Saya nyatakan seperti berikut:
• Wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya. Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatannya tetap haram dan dikira berdosa. Malah, dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).
• Ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 28 Musim Haji 1433H pada kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji.
Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semulajadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya. Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur’an dan Hadith untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.
Hormatilah Negara dan Undang-Undang Kita
Seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik. Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara. Sebarang tindakan yang dilakukan oleh jemaah haji dan umrah, boleh memberi impak kepada hubungan baik dan kerjasama Malaysia – Arab Saudi. Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan yang buruk kepada Malaysia.
Peruntukan undang-undang syariah berhubung kesalahan wanita menyerupai lelaki (pengkid) dan hukum lelaki menyerupai perempuan (pondan dan mak nyah) telah sedia diperuntukkan di dalam akta dan enakmen negeri-negeri. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berautoriti untuk melaksanakannya dengan penuh amanah, berhemah dan bijaksana.
Ambillah Peluang
Sementara saudara Muhammad Sajjad berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh disamping mengisi masa dengan acara-acara ibadat seperti berikut:
• Banyakkan bertaubat dan beristighfar
• Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW
• Banyakkan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi
Saya doakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman dan jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupaan anda, amin. Bak kata HAMKA, “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti.”
Saya akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه
Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.
Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
Rakyat Amerika Berpusu-Pusu Beli Senjata Api Dari Bekalan Makanan Bila Diisytihar Darurat!
Kalau di Malaysia atau mana-mana negara yang diistiharkan perintah berkurung (lockdown) angkara COVID-19 pasti rata-rata kita akan melakukan pembelian panik keperluan harian seperti stok barang dan makanan.
Namun, berbeza pula dengan penduduk Amerika Syarikat ketika wabak koronavirus (Covid-19) semakin meninggi di sana, mereka berpusu-pusu di kedai menjual senjata api.
Menurut laporan The Sun, orang ramai sanggup beratur panjang demi membeli senjata api dan pisau demi mencegah diri dalam krisis Covid-19 yang melanda negara itu. Peratusan jualan di kedai senjata api meningkat sehingga mencecah 68 peratus sebelum tercetusnya pandemik ini.
Kebanyakan senjata yang laris terjual ialah senjata ‘pembelaan diri’ automatik seperti AR-15. Pemilik Gun Effect dan Cloud 9 Fishing, Dennis Lin berkata, jualan senjata mengalami peningkatan yang begitu tinggi dalam kalangan Asia-Amerika kerana ‘menjadi sasaran disebabkan bangsa’.
Kata salah seorang netizen tentang perkara ini, mereka membeli senjata sebagai langkah melindungi diri dan keluarga. Sejak Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat di negara itu, penduduk sudah memulakan pembelian panik dan keadaan itu telah mencetuskan hura-hara.
Penduduk terdesak untuk menyimpan stok barangan untuk menjalani tempoh kuarantin sehingga berlaku pergaduhan di hadapan pasar raya. Berlaku pergaduhan apabila ada antara mereka mengambil tisu tandas di dalam troli pembeli lain.
Dalam pada itu, peruncit mengatakan tiada kemungkinan berlakunya kekurangan stok disebabkan wabak Covid-19 yang melanda ketika ini namun mengakui bahawa mereka sedang bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Rangkaian pasar raya terbesar di Amerika, Walmart mengumumkan semua cawangan mereka yang beroperasi 24 jam akan dipendekkan kepada 6 pagi hingga 11 malam dan akan beroperasi sedia kala apabila keadaan kembali normal. Waktu operasi dipendekkan untuk melakukan kerja-kerja pembasmian dan pembersihan.
Amerika Syarikat mempunyai kadar pemilikan senjata api tertinggi dan undang-undang senjata paling longgar di dunia. Setiap tahun kira-kira 4.5 juta senjata api, termasuk kira-kira dua juta pistol, yang dijual di Amerika Syarikat, melebihi jumlah penduduk.
Ish bahaya betul kalau korang dah panik ni kan.Takut pula penulis dah beli pistol bagai ni.
Sumber: The Sun