Terbiasa Bahasa Rojak, Guru BM Kongsi Ada Pelajar Jawab Peperiksaan Penting Guna Bahasa Pasar

Share

Bahasa identiti bangsa.

Jika negara lain berbangga dengan identiti bangsa mereka, kita juga seharusnya berbangga dengan Bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan. Di sebalik tidak menghilangkan identiti etnik sesuatu kaum, penggunaan bahasa kebangsaan menentukan identiti sebenar bangsa Malaysia sejati yang setia pada negara.

Menurut Guru Panitia Bahasa Melayu di SMK Seksyen 24 (2) Shah Alam, Cikgu Sulida, ada pelajar menjawap peperiksaan penting menggunakan bahasa rojak kerana sudah terbiasa di dalam perbualan, mesej dan menulis di media sosial.

“Mungkin sudah terbiasa tapi akhirnya kebiasaan itu boleh membawa markah kurang kerana penggunaan bahasa yang salah. Mungkin pelajar tidak menyedari hal ini tetapi ia bukanlah sesuatu yang baik,” katanya yang hadir di majlis penyampaian hadiah peraduan menulis esei Saya#remajaMalaysia anjuran Majalah Remaja dengan Kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Hal sama diakui oleh Cikgu Nor Aishah yang juga Guru Kanan Mata pelajaran BM di sekolah sama menjelaskan, adakalanya pelajar susah membezakan antara bahasa rojak atau bahasa kebangsaan kerana sudah terbiasa.

“Apa yang kita ingin betulkan ialah biasakan apa yang luar biasa agar tidak menjadi kebiasaan,”kata seusai majlis.

Dalam majlis semalam menyaksikan SMK Seksyen 24 (2) Shah Alam terpilih sebagai sekolah penyertaan terbanyak dalam esei tersebut sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan buku-buku sumbangan Dewan Bahasa & Pustaka serta hadiah iringan lain.

Menyentuh penyertaan sekolah teramai menyertai esei ini, Cikgu Sulida yang mengajar di aliran Sains sekolahnya memaklumkan diri berkongsi idea dan duduk berbincang dengan pelajar apa isi penting bagi esei ini.

“Bagi saya ia satu pertandingan yang baik untuk remaja menggambarkan isi hati mereka tentang negara Malaysia. Tambahan pula ia diadakan sempena bulan kemerdekaan dan penyerapan semangat patriotik itu sangat penting. Walau sekolah kami tidak memenangi hadiah utama tapi ia sebagai satu latihan baik untuk pelajar menulis karangan dalam peperiksaan penting nanti,” katanya lagi.

Dalam penyampaian hadiah semalam menyaksikan pelajar dari SMK Cha’ah, Johor Nur Isma membawa pulang hadiah wang tunai RM800 serta hadiah lain bernilai hampir RM2000 selepas eseinya memenangi hadiah utama bagi pertandingan ini.

Published by
Almaswa Haji Che Ros