Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera secara fizikal oleh ibunya dan pasangannya di sebuah taman perumahan Pasir Gudang telah dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian.
ARTIKEL BERKAITAN: Ini 8 Kes Dera Kanak-Kanak Paling Tragis Di Malaysia, Ada Mangsa Koyak Organ Dalaman
Mangsa kini dalam pemerhatian di Hospital Sultanah Aminah, manakala ibunya berusia 27 tahun dan pasangannya berusia 30 tahun ditahan bagi memudahkan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dakwaan penderaan itu terbongkar selepas rakaman beberapa lelaki dipercayai jiran pasangan itu dilihat bersemuka dengan mereka dan menunjukkan kecederaan yang dialami budak lelaki itu tular di media sosial.
Ketua Polis Johor Pesuruhjaya Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihak polis telah membuat serbuan ke rumah itu kira-kira tengah malam semalam dan berjaya menahan ibu kanak-kanak itu yang kemudiannya direman enam hari, manakala pasangannya menerima perintah reman tujuh hari.
Turut dirampas daripada dua wanita berusia 27 dan 30 tahun itu ialah dua rotan. Menurut laporan juga, kedua-dua wanita diuji negatif untuk penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Sementara itu, permaisuri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustaman memuat naik laman Facebook rasminya, mengulas mengenai dakwaan penderaan itu.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail atas tindakan segera mengeluarkan budak lelaki itu dari rumah untuk rawatan.
Dia juga memuji penduduk taman perumahan yang mengambil langkah mereka untuk bersemuka dengan pasangan itu, apabila mereka mengesyaki kanak-kanak tersebut dalam situasi yang memerlukan pertolongan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO: News Strait Times, Kosmo