Bukan mudah untuk dianugerahkan biasiswa berprestij ini. Individu yang menerimanya mestilah memiliki kelebihan dan juga karisma dalam pendidikan yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat.
Tahniah Remaja ucapkan kepada pelajar tahun akhir fakulti perubatan Universiti Malaya, Subashan Vadibeler. Terpilih untuk menerima biasiswa ini bukan calang-calang orangnya.
Untuk pengetahuan anda, program biasiswa tersebut merupakan anugerah pascasiswazah yang dianugerahkan kepada pelajar terpilih seluruh dunia untuk menyambung pelajaran di Universiti Oxford.
Seperti yang dilaporkan sumber, Subashan akan ke United Kingdom pada Oktober tahun hadapan dan melanjutkan pengajian selama dua tahun di dalam dua bidang sarjana iaitu Sarjana Sains dalam Kesihatan Antarabangsa dan Perubatan Tropika serta Sarjana Sains dalam Imunologi Bersepadu.
Dalam satu hantaran lain, menerusi twitter. Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman turut berkongsi kegembiraan dan keterujaannya.
“Saya sangat gembira dengan berita ini, macam saya sendiri yang mendapat biasiswa ini!! Pelajar tahun akhir fakulti kita, Subashan telah dipilih untuk menerima Biasiswa Rhodes 2021 bagi negara Malaysia. Anda telah membuat kami semua di Fakulti Perubatan UM bangga.”
Sumber: Malaymail & Twitter @ProfAdeeba