Usaha keras skuad terjun kebangsaan selama dua tahun berlatih dalam musim pandemik membuahkan hasil apabila terus cemerlang menghadiahkan pingat emas dalam misi di Sukan SEA 2022 Vietnam.
Setelah 4 acara yang dilangsungkan pada hari Ahad dan Isnin lalu berakhir dengan kemenangan pingat emas buat Malaysia, hari ini dua lagi pingat emas berjaya diraih menerusi acara 3 meter papan anjal individu wanita dan acara 10 meter platform seirama lelaki.
Wendy Ng Yan Yee mengulangi prestasi memberansangkan apabila menyumbang emas kelima setelah mengutip 270.60 mata dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita. Manakala pingat perak turut menjadi milik Malaysia menerusi Ong Ker Ying dengan jumlah pungutan 242.40 mata.
Menariknya, ini merupakan Sukan SEA pertama yang disertai oleh Ker Ying. Pada usia semuda 20 tahun, dia telahpun menaiki podium sebanyak dua kali. Hebat kan!
Terdahulu, mereka berdua telah bergandingan semalam dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita dan meraih pingat emas. Ini sekaligus menunjukkan usaha menggandingkan atlet senior seperti Ng Yan Yee, 29 dan atlet junior seperti Ong Ker Ying ‘menjadi’ dalam usaha kem negara mengenengahkan bakat baharu dalam sukan kompetitif seperti terjun.
ARTIKEL BERKAITAN : Memang Legend! 13 Pingat Emas Sukan SEA Sudah Ada Dalam Genggaman Ooi Tze Liang – REMAJA
Pada sebelah petang tadi pula, satu lagi gandingan penerjun membuahkan emas keenam buat Malaysia menerusi Hanis Nazirul dan Jelson Jabilin.
Mereka mengutip sebanyak 345.93 mata pada acara 10 meter platform seirama lelaki lalu memastikan lagu Negaraku terus berkumandang di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi untuk kali keenam dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
Biarpun emas keenam itu berjaya dimiliki, namun terjunam kelima mereka telah membuatkan rakyat Malaysia agak cemas apabila ia tidak disempurnakan secara kemas.
Mengimbas semula kata-kata pengurus pasukan terjun kebangsaan yang juga merupakan bekas atlet terjun iaitu Datuk Leong Mun Yee, masih ada ruang untuk diperbaiki oleh pasukan terjun negara demi memastikan Malaysia tidak hanya bergelar ‘jaguh kampung’ di peringkat Sukan SEA.
Misi utama pasukan terjun negara kini adalah untuk meningkatkan prestasi pungutan mata bagi setiap terjunan agar mereka mampu memberikan cabaran di kejohanan antarabangsa yang lebih mencabar dengan kehadiran negara ‘powerhouse’ lain.
Apapun, tahniah REMAJA ucapkan buat mereka!
Semoga pengalaman kali ini di Sukan SEA 2022 akan dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk mereka melakukan dengan lebih baik di kejohanan seterusnya.
BACA LAGI : Dhabitah Sabri Tidak Mengecewakan, Penerjun Tuai Emas Pertama Sukan SEA 2022 – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.