Terkesan Atau Tidak? Pasukan Bola Sepak Kedah Di Turkiye Semasa Gempa Bumi Melanda

Share

Tragedi gempa bumi bermagnitud 7.8 skala richter di selatan Turkiye dan Syria pada pagi Isnin waktu tempatan telah mengejutkan dunia.

Sehingga kini, angka kematian dilaporkan telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,830 orang mangsa. Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay melaporkan jumlah kematian di negaranya telah mencatatkan angka 2,379 orang.

Manakala di Syria pula, laporan mangsa kematian terbahagi kepada dua kawasan di bawah pemerintahan berbeza. Agensi berita SANA melaporkan 711 kematian di kawasan yang dikawal oleh kerajaan mankala di kawasan yang dikawal oleh pembangkang atau ‘White Helmets’ pula, ia melaporkan 740 kematian.

Tatkala tragedi melanda di kedua-dua buah negara tersebut, pasukan bola sepak Kedah Darul Aman atau KDA FC rupa-rupanya sedang berada di Turkiye bagi aksi siri jelajah pramusim skuadnya!

Bagaimana agaknya keadaan mereka di sana?

Kongsi Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali menerusi satu kenyataan di Facebook pasukan semalam, keberadaan pasukan KDA FC di sana tidak terjejas memandangkan jarak di antara lokasi bencana dengan pusat latihan mereka di Antalya adalah jauh; malah kedua-dua lokasi terletak di zon berbeza.

Maka, jadual latihan dan aksi empat perlawanan persahabatan di Limak Arcadia Sports Centre tidak terjejas. Lebih utama, para pemain dan pegawai pasukan KDA FC di sana disahkan berada dalam keadaan yang selamat.

“Pihak pengurusan bersyukur dan mendoakan semuanya dalam lindungan Ilahi dan mangsa terlibat dengan kejadian tersebut selamat dan dipermudahkan semua urusan.

“Terima kasih dari kami di bumi Turki, teruskan sokongan, doa semuanya selamat dan ikuti perkembangan semasa pasukan Sang Kenari di saluran rasmi kelab,” kata Khamal Idris.

Sebagai info, KDA FC kini berada di Antalya, Turkiye selama 10 hari bagi mengadakan empat aksi perlawanan. Ia melibatkan aksi menentang pasukan FC Nasaf (dari Uzbekistan, 9 Februari), FC Shakter Karaganda (dari Kazakhstan, 10 Februari), FK Maqtaraal (dari Kazakhstan, 12 Februari) dan FC Metalist Khakiv (dari Ukraine, 14 Februari).

FOTO: Facebook Kedah Darul Aman FC

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ