Salah seorang anggota kumpulan gadis K-pop, Kep1er iaitu Yujin serta agensi yang mewakilinya, KLAP Entertainment mengambil keputusan untuk memohon maaf berikutan pemakaian baju dengan imej Kaabah serta kalimah Allah dan Muhammad.
Perbuatan Yujin yang memuat naik hantaran video dengan berpakaian sedemikian telah mengundang amarah warganet yang merasakan ia satu bentuk penghinaan terhadap isu keagamaan yang sensitif.
Di platform X, rata-rata warganet menggunakan tanda pagar #YujinApologizeToMuslim bagi meluahkan ketidakpuashatian mereka. Malah ada juga yang nekad ingin memboikot kumpulan tersebut serta KLAP Entertainment.
Tambah mengecewakan lagi adalah apabila warganet pantas mengenal pasti baahawa ini bukanlah kali pertama baju T itu dipakai oleh seorang artis K-pop. Malah, satu lagi kumpulan gadis K-pop dikenali sebagai Badvillain juga pernah menyarungkannya.
Menerusi plaform media sosial Bubble, Yujin melakukan permohonan maaf peribadi bagi mengiringi kenyataan maaf yang terlebih dahulu dikeluarkan oleh agensi KLAP Entertainment.
“Hello, ini ialah KLAP Entertainment.
“Kami mengesahkan bahawa Yujin Kep1er baru-baru ini telah menyarungkan baju dengan rekaan menyerupai kandungan keagamaan, dan kami telah memadamkan kesemua gambar yang memaparkan baju tersebut.
“Kami seharusnya memeriksa rekaan baju secara teliti sebelum menyerahkannya kepada artis kami. Kami ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan akibat kejahilan dan ketidakcekapan kami.
“Sebagai sebuah kumpulan yang bukan hanya mempunyai peminat di Korea tetapi di serata dunia, kami seharusnya bertindak lebih berhati-hati untuk tidak mengulang kesilapan sama pada masa akan datang,” ulas kenyataan terbabit.
Sementara itu, jenama pakaian yang mengeluarkan rekaan baju tersebut juga bertindak untuk menarik semula stok jualannya dan seterusnya akan lebih berwaspada demi menghormati pembeli mereka yang terdiri daripada komuniti yang berbilang kaum serta kepercayaan.
Haih, apa pendapat korang? Adakah ini isu terkhilaf ataupun sememangnya akibat kejahilan atau ignorance?
Ini bukanlah kali pertama industri hiburan K-pop terpalit dengan kontroversi melibatkan kalimah sensitif di sisi agama Islam.
Terdahulu REMAJA pernah melaporkan mengenai lirik kontroversial melibatkan rapper solo, Jay Park.
BACA: Kontroversi Lirik Lagu Dengan Kalimah Allah, Jay Park Jawab Kritikan – Remaja
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.