Semalam REMAJA melaporkan berita kehilangan seorang pelajar universiti, Amir Hamzah bin Mohd Razali, 21 yang sepatutnya menghadiri majlis konvokesyennya pada 12 Oktober lalu. Rayuan dari ahli keluarganya yang meminta agar sesiapa terjumpa agar memaklumkan kepada mereka.
Berita terkini, abangnya, Khairul Anuar memaklumkan petang semalam satu penemuan mayat lelaki Melayu ditemui di oerangkap sampah Sungai Kandis, Shah Alam yang terletak di belakang rumahnya sahaja.
Ketika dihubungi REMAJA, Khairul memaklumkan, dia diberi kebenaran melihat mayat tersebut dan gerak hatinya berkata itulah mayat adiknya, Amir Hamzah.
“Pihak Bomba Shah Alam menemui satu mayat yang sudah kembang di Sungai Kandis sekitar jam 6 petang di perangkap sampah itu. Saya ketika itu berada di Sungai Kayu Ara tempat lokasi kemalangan kerana pihak bomba menjalankan operasi di situ.
“Ketika melihat mayat itu, gerak hati saya mengatakan itulah adik. Ini kerana mayat itu lelaki Melayu, beragama Islam dan tali pinggang dipakainya tertulis PLKN di mana adik pernah menjalani latihan PLKN selepas tamat sekolah dulu. Baju jaket yang saya sangka dipakainya (gambar atas dengan pelakon Nasir Bilal Khan itu ada di rumah di Pulau Pinang.
“Mayat itu masih lengkap berpakaian dengan seluar slack. Ini lebih menyakinkan saya kerana adik ada majlis konvokesyen pada pagi itu di Universiti Putra Malaysia kerana dia tamat belajar di Cybernetic International College Technology dan hari graduasinya berlangsung pada hari dia menolong mangsa kemalangan itu.
“Pihak hospital hanya memberi masa yang sekejap melihat mayat itu, hanya dari paras muka sampai pinggang sahaja. Bedah siasat akan dilakukan pada jam 2 petang ini di Hospital Shah Alam,” katanya yang bagaimana pun berkata gerak hatinya mengatakan mayat itu adalah adiknya.
Dalam pada itu Khairul turut menambah, seperti dimaklumkan oleh ibunya, adiknya itu akan menyimpan beg duit di dalam poket seluar dan hanya barang-barang lain di dalam porch yang ditemui di lokasi kejadian.
“Kalau benar beg duit ini ada dalam poket seluarnya, sahlah itu adik Amir. Sebelum ini kami ahli keluarga ingatkan beg duitnya hilang kerana telefon bimbitnya memang hilang. Cuma barang-barang lain ditemui di lokasi kejadian seperti kad pelajar, kad touch n go, beg pouch dan lain-lain,” katanya berkata ia baru menyedari hal itu selepas dimaklumkan oleh ibunya.
“Saya andaikan adik tidak cedera atau dilanggar, cuma mungkin dia tercampak akibat dihentam lori simen yang melanggar kereta itu sebelum tercampak ke dalma Sungai Kayu Ara itu,’ katanya memaklumkan semua ahli keluarganya sudah datang dari Pulau Pinang. Jika benar itu arwah Amir, adiknya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Shah Alam.
Menyifatkan adiknya sebagai seorang yang prihatin, suka menolong orang, baik hati dan periang, anak bongsu dari lima beradik itu sebenarnya cukup disayangi ahli keluarga dan rakan-rakannya.
“Ramai kawan-kawannya yang whatsapp saya bertanya dan saya terpaksa berterus terang. Sama-sama kita doakan. Saya redha dengan kemalangan ini dan niat baiknya membantu tapi kesal kerana bantuan lambat disalurkan di mana pihak berkuasa tidak menyangka ada mangsa lagi,’katanya ketika dihubungi.
ARTIKEL BERKAITAN : Adik Sepatutnya Ada Majlis Konvo Tapi Hingga Kini Hilang, Abang Rayu Cari Adik
Semalam REMAJA memaparkan berita, Amir menaiki motosikal dari Perak menuju ke rumah abangnya, Khairul Anuar di Seksyen 17 Shah Alam.
Pemuda ini sempat menghantar satu pesanan ringkas di whatsapp pada jam 3.01 minit pagi memaklumkan dia sudah selamat sampai di Sungai Buloh dan berhenti rehat ketika kerana hari hujan.
Amir kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum terserempak dengan satu kemalangan di KM 14.5 di Lebuhraya NKVE menghala Subang / Damansara dan memberhentikan motosikalnya dengan niat untuk membantu.
Malangnya, tanpa sedar di saat dia cuba membantu kereta yang terbabas melanggar pembahagi jalan itu, sebuah lori simen telah merempuh kereta terbabit dalam hujan lebat tanpa siapa menyedari Amir sudah tercampak ke dalam sungai terbabit.
Temubual REMAJA bersama abangnya, Khairul Anuar semalam, pemuda berusia 27 tahun ini merayu dan meminta orang ramai untuk mencari adiknya yang sudah 4 hari hilang.