[Terkini] Remaja Bawah 18 Tahun Boleh Daftar Tapi Belum Terima Tarikh Vaksinasi

Share

 

Kegembiraan remaja bawah usia 18 tahun yang telah dibenarkan mendaftar diri ke dalam sistem MySejahtera seakan ‘dipotong’ setengah jalan setelah mereka mendapati masih belum menerima tarikh janji temu untuk suntikan dos vaksin Covid-19.

Untuk pengetahuan, kerajaan telah mengumumkan semalam bahawa pendaftaran vaksinasi untuk kumpulan remaja yang berusia dari 12 tahun hingga 17 tahun akan mula diterima oleh sistem MySejahtera bermula 22 Julai 2021.

ARTIKEL BERKAITAN : Remaja Dan Kanak-Kanak Dah Boleh Dapat Vaksin, Ini Cara Daftar Di MySejahtera – REMAJA

Bagaimanapun lewat hari semalam, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata, kumpulan remaja ini masih perlu menunggu tarikh janji temu untuk seketika berikutan kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) yang dilaporkan berlaku kepada remaja yang telah disuntik dos kedua vaksin COVID-19 di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Demi mengelakkan risiko sesiapa di Malaysia mendapat kesan sampingan seperti ini, pihak kementerian akan menunggu perkembangan baharu dan kepastian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia sekiranya golongan ini selamat menerima vaksin.

Begitupun, bagi pelajar tahun peperiksaan yang TELAH mencapai usia 18 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2022; mereka masih akan dibenarkan untuk divaksinasi mengikut jadual janji temu yang ditetapkan.

BACA LAGI : Untungnya! Calon SPM & STPM 2021 Terima Vaksin Pfizer-BioNTech – REMAJA

Bagi remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang belum lagi mendaftarkan diri di MySejahtera, korang masih boleh berbuat demikian kerana sistem tersebut tetap akan menerima pendaftaran daripada kumpulan ini bagi kegunaan sesi vaksinasi pada masa hadapan.

Sumber : (1)

Published by
FZ