Tertuduh kedua yang dibawa ke kandang saksi ialah Muhammad Azamuddin Mad Sofi.
Dalam kenyataannya pada hari ini, dia mengingati semula momen dan kata-kata terakhir Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain sehingga menyebabkan ibu arwah, Hawa Osman mengesat air mata yang mengalir.
Kata Azamuddin, Zulfarhan meluahkan rasa rindunya pada kedua-dua ibu bapanya. Azamuddin pada waktu itu berada di dalam bilik hostel Zulfarhan pada 1 Jun 2017 ketika keadaan arwah semakin lemah.
“Arwah muntah-muntah dan cirit birit pada malam itu…saya membersihkan kesan muntahnya.”
“Zulfarhan meminta maaf kerana dia merasakan dirinya sebagai bebanan (kepadanya kerana perlu membersihkan kesan muntah)”
“Saya kata tak mengapalah memandangkan kami adalah kawan karib. Kemudian dia mengatakan dia merindui ibu bapanya.”
“Saya menyuruhnya memanggil dengan menggunakan telefon saya, tetapi dia menolak kerana enggan membimbangkan mereka.”
“Dia ingin meminta maaf kepada ibu bapanya dan saya menyuruhnya untuk menguatkan diri dan saya akan bersamanya tak kiralah apa jua keadaan..,”kata Azamuddin.
*
Tertuduh juga meminta maaf kepada ahli keluarga Zulfarhan dan tidak dapat menghentikan air matanya daripada mengalir.
Katanya, mereka menelefon ambulans sebelum para paramediks membawa Zulfarhan ke Hospital Serdang.
Terdahulu, tertuduh mengaku dialah yang menekan seterika berwap pada peha dan bahu Zulfarhan ketika sesi ‘menyiasat’ di antara mangsa dan pelaku.
Ini adalah antara dialog yang berlangsung di antara Azamudin dan kaunsil Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal.
Amer: Jika kamu adalah kawan karib, mengapa kamu lakukan perkara itu (menekan seterika berwap)?
Azamudin: Bila saya lakukannya, saya tidak sedar ia akan mengancam nyawanya. Saya lakukannya kerana ingin mengajarnya.
Amer: Kamu ingin katakan apa-apa kepada keluarga Zulfarhan?
Azamuddin: Saya ingin meminta maaf (kepada ahli keluarga) atas insiden ini.
Katanya lagi, kematian Zulfarhan tidak disengajakan dan dia tidak mempunyai niat untuk mengapa-apakan mangsa.
*
ARTIKEL BERKAITAN: “Kami Hantar Dia Hidup, Dapat Kembali Dah Sejuk..” – Adik Zulfarhan
Untuk pengetahuan, 6 orang tertuduh sedang berdepan dengan tuduhan membunuh Zulfarhan. Mereka terdiri daripada Muhammad Akmal, Azamuddin, Afif Najmudin, Muhammad Najib Mohd Razi dan Mohamad Shobirin.
Manakala Abodul Hakeem Mohd Ali dituduh bersubahat untuk perlakuan membunuh itu.
Mereka semua mengaku tidak bersalah untuk sengaja mengancam Zulfarhan dan ia dilakukan dengan niat untuk mencungkil pengakuan Zulfarhan atas pertuduhan mencuri sebuah komputer riba.
Perbicaran akan disambung esok.
Sumber: News Straits Times