Politik sekali lagi menjadi penyebab kepada kekecewaan dalam kalangan peminat bola sepak di negara seberang, Indonesia.
Setelah terpaksa menanggung malu akibat pengurusan lemah semasa tragedi rusuhan di Stadium Kanjuruhan pada Oktober 2022 sehingga menyebabkan lebih daripada 130 kematian, kini sinar baharu untuk membawa semula persada bola sepak Indonesia ke sudut yang lebih positif juga tidak kesampaian.
Ini setelah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa atau FIFA semalam menarik balik hak Indonesia sebagai tuan rumah kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun; hanya beberapa minggu sebelum ia dilangsungkan.
Penarikan semula ini berikutan kelantangan protes beberapa kem politik di Indonesia yang menentang penyertaan pasukan bola sepak Israel pada kempen kali ini.
Umum mengetahui bahawa hubungan diplomasi rasmi di antara Indonesia dan Israel tidak wujud memandangkan negara majoriti penduduk Islam itu sentiasa memihak kepada saudara seagama yang menetap di Palestin.
Tambahan pula, dua orang gabenor berpengaruh di Indonesia sebelum ini bersungguh-sungguh melaungkan penentangan mereka terhadap penyertaan Israel dalam kejohanan itu. Penentangan ini sekaligus tidak disenangi oleh badan FIFA yang ingin memastikan semua pasukan dapat bertanding secara selamat di negara tuan rumah.
Disebabkan penarikan drastik oleh FIFA ini juga, penyertaan pasukan bola sepak bawah 20 tahun Indonesia kehilangan tiket automatik sebagai tuan rumah untuk menyertai kejohanan yang berlangsung setiap dua tahun sekali itu.
Lapor media Indonesia, berita tersebut amat memberi kesan kepada peminat bola sepak negara itu terutamanya pemain kebangsaannya.
Penyerang 19 tahun Indonesia, Rabbani Tasnim mengeluh kepada pemberita di sana dengan berkata, “Tenaga, masa, peluh dan darah yang kami curahkan, tetapi ia digagalkan disebabkan alasan politik. Ini adalah impian besar kami yang telah anda hancurkan.”
Manakala penyerang 18 tahun Indoneisa, Hokky Caraka turut berkongsi sentimen sama. “Kami, para pemain, kini terkesan. Bukan hanya kami tetapi semua pemain bola sepak Indonesia.”
Haih, sabarlah pasukan Garuda.
Untuk pengetahuan korang, kejohanan Piala Dunia bawah 20 tahun pada asalnya dijadualkan berlangsung di Indonesia dari 20 May hingga 11 Jun hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.