Sebuah lagi filem biopik, Rajah yang khabarnya menelan belanja kira-kira RM48 juta akan melakukan sesi penggambarannya 100 peratus di Malaysia.
Filem yang diarahkan oleh Michael Haussman ini dibintangi oleh barisan pelakon Hollywood, Jonathan Rhys Meyers dan Dominic Monaghan, serta beberapa pelakon tempatan yang dijangka akan terlibat ialah Bront Palarae, Shaheiy Sam dan Datuk Rahim Razali.
Apa yang menariknya lagi, filem Rajah juga membariskan anak tempatan Sarawak dalam memegang watak penting menerusi naskhah ini.
Tidak terkecuali, finalis Hero Remaja 2017 Ezmir Sadriq juga terpilih untuk turut sama menjayakan filem dari Hollywood ini.
“Sebenarnya saya telah menyertai casting untuk filem Rajah kira-kira setahun yang lalu selepas terlihat satu posting di Facebook. Lebih kurang setahun selepas itu, saya dipanggil pula untuk menyertai sesi uji bakat peringkat kedua dan ketiga,” kata Ezmir.
Oleh kerana sesi penggambaran berlaku di negara kita, filem ini mempunyai dua orang penerbit, , iaitu daripada Hollywood dan juga tempatan. Jadi menerusi panggilan casting peringkat kedua ini Ezmir diberikan tawaran untuk melakonkan watak Subu, yang kini dipegang oleh pelakon Shaheizy Sam.
“Pada mulanya, saya diberi kepercayaan untuk cuba membawakan watak Subu ini, namun mungkin kerana mereka merasakan saya belum cukup bersedia, jadi watak itu telah pun digantikan oleh Shaheizy Sam. Dan saya yakin dia lebih layak untuk membawa watak tersebut,”
“Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terlibat dalam filem ini walaupun hanya memegang watak extra
. Siapa yang tak nak berlakon dalam filem Hollywood kan? Jadi, saya ambil peluang ini sebagai langkah permulaan untuk menimba pengalaman dalam bidang lakonan,” jelasnya lagi.Masih bergelar seorang pelajar di Universiti Swinburne di Kuching, Sarawak, Ezmir menegaskan bahawa dia masih mempunyai tugasan yang harus digalas untuk menamatkan pelajarannya.
“InsyaAllah saya ada lebih kurang dua tahun lagi untuk habis belajar, jadi sekarang biarlah saya fokus kepada pelajaran saya terlebih dahulu. Tapi sekiranya mendapat peluang berlakon, atau apa saja yang berkaitan dengan dunia seni, saya akan cuba penuhi sebaik mungkin,”
“Selepas tamat saja belajar nanti, insyaAllah saya nak meneruskan minat dalam industri seni negara dan dalam masa yang sama, mengejar impian untuk menjadi seorang anak seni,” jelasnya mengakhiri perbualan.
Kami mengucapkan selamat maju jaya buat Ezmir dan semoga segala impiannya terlaksana. Tahniah sekali lagi kami ucapkan atas kemunculannya dalam filem biopik Rajah akan datang.