Aktres popular, Fasha Sandha sama sekali enggan mengambil pusing seandainya adegan panas yang dilakonkan menerusi naskhah terbaharu bersiri Rampas Cintaku 2 tular dan dikritik warganet.
Berkata kepada Remaja, pelakon berusia 40 tahun itu hanya menganggap tindakan warganet menularkan babak tersebut sebahagian daripada pemasaran percuma buat drama sensasi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Bersyukur Tak Terhingga..” Sweet Qismina Miliki Rumah Sendiri. Tahniah!
“Sekiranya ada netizen yang menularkan babak tersebut, itu akan menjadi sebahagian daripada free marketing untuk drama ini.
“Di zaman sekarang wujud kuasa tular, saya hanya menjalankan tugas saya sebagai pelakon dan menjayakan watak sahaja.
“Tetapi kalau babak itu menjadi kegemaran penonton, saya tidak boleh nak halang. Mungkin mereka lebih tertarik dengan babak itu sedangkan ada babak lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fasha turut memaklumkan dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai babak tersebut kerana percaya ada nilai dan pengajaran yang ingin disampaikan.
“Setiap naskhah pastinya ada mesej yang ingin disampaikan dan sudah pasti saya ingin menyampaikan mesej itu melalui lakonan dan skrip yang dilontarkan.
“Tetapi saya percaya akan ada penonton yang akan menerima secara positif dan negatif. Terpulang kepada hak mereka untuk menilai. Drama ini banyak pengajaran dan nilai murni yang ditonjolkan,” ujarnya lagi.
Selain Fasha, drama terbitan MIG Production yang sudah disiarkan di platform penstriman Over The Top (OTT) iQIYI Malaysia itu turut dibarisi Erra Fazira, Zamarul Hisham, Keith Foo, Afieq Shazwan, Puteri Balqis dan ramai lagi.
SUMBER FOTO: Instagram Fasha Sandha
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.