Menjadi individu Orang Kurang Upaya (OKU) sedari kecil lagi bukanlah satu kekurangan bagi insan yang bernama Azzrulkhan Hasrullah Matsah atau lebih dikenali dengan nama samaran Adam Khan.
Menghidap polio, iaitu penyakit saraf yang menyebabkan kelumpuhan kekal sejak bayi lagi, Adam tidak mampu berjalan dan berlari seperti orang lain. Kehidupannya mungkin tidak sama seperti kita, tetapi apa yang hebatnya individu ini walaupun dia bergelar OKU, Adam sudah berjaya menakluk Gunung Everest pada tahun lepas.
Walaupun tidak sampai ke puncak Everest, namun kejayaannya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) wajar diberi pujian kerana semangat juang yang ada pada dirinya sedikit pun tidak menjadikan kekurangannya itu sebagai satu alasan untuk melakukan apa saja yang dia mahukan.
Ditanya bagaimanakah individu ini terlintas untuk melakukan aktiviti mendaki, Adam tidak lokek untuk berkongsi ceritanya bersama Remaja.
“Semuanya bermula apabila saya terlihat posting seorang kawan di Facebook, gambar selfie di puncak dan dari situ saya rasa ingin tahu tentang aktiviti mendaki. Saya cuba menghubungi dan meminta sesiapa saja yang boleh membawa saya mendaki untuk melihat sejauh mana kemampuan diri saya,” jelas Adam yang merupakan graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa UIAM.
Banyak puncak gunung/bukit yang telah ditawan dan antaranya adalah seperti Bukit Gasing, Saga, Kutu, Gunung Kinabalu dan banyak lagi.
Pergh, rasa kecil ni pula diri ni bila mendengar segala jenis bukit dan gunung yang pernah ditawan Adam. Kita yang cukup sifat ni pun belum tentu dah panjat semua bukit. Betul tak?
Mungkin korang terfikir bagaimana agaknya Adam mendapat peluang untuk berada di Gunung Everest. Dia telah dihubungi oleh Bang Qobin dari Kelab Tujuh Benua untuk menjalankan misi cabaran kali ini.
“Saya melakukan persediaan fizikal dan mental. Fizikal dengan mendaki bukit sebanyak mungkin dalam seminggu dan kerap ke gimnasium. Selain itu, aktiviti berenang dan menyelam juga membantu mencergaskan badan saya,”
“Dari segi mental pula, saya mendengar penerangan dan nasihat daripada pakar serta membuat rujukan dan membaca tentang hal-hal yang berkaitan pendakian Gunung Everest,” jawabnya lagi.
Kejayaannya itu membuatkan namanya tertulis dalam Malaysia Book of Record sebagai pendaki OKU pertama merangkak ke puncak Kinabalu dan pendaki OKU pertama merangkak ke Kem Induk Everest.
Sudah tentu Adam dan keluarganya berasa bangga serta gembira dengan pencapaian yang telah dia lakukan.
“Kaum keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan yang padu buat saya. Tanpa mereka, mungkin juga saya tidak berjaya sehingga ke tahap ini,”
Lebih membanggakan lagi, kisah pendakiannya ke Everest telah pun dibukukan. Ia adalah buku sulungnya yang diterbitkan Buku Pojok, Karangkraf.
“Buku ini menceritakan keseluruhan kisah hidup saya dari kecil sehingga menjadi pendaki OKU pertama ke kem induk Everest,”
Kalau nak tahu apakah halangan dan cabaran yang dilaluinya sepanjang cabaran pendakian tersebut, korang boleh dapatkan buku Kembara Merangkak Puncak ini di kedai buku terpilih atau boleh saja beli secara online.
Pasti banyak pengajaran yang korang boleh belajar daripada individu hebat ini!