Tertipu Dengan Shopping Online, Ini Tindakan Undang-Undang Yang Korang Boleh Buat

Share

Masalah belian barangan online memang sering kita dengar. Boleh jadi ada barang yang tidak sampai atau mungkin apa yang diterima tidak sama seperti yang dipesan.

Membeli secara online ni memang jauh lebih mudah, cepat dan kadang lebih murah. Tapi ini adalah risiko yang perlu korang hadapi.

Kalau beli di shopping mall, korang boleh terus ke kedai dan refund tapi jika belian dibuat secara online, hubungi penjual atau market website tersebut.

Namun, macam mana kalau sekiranya peniaga online ini tidak memberi feedback? Boleh ke kita nak ambil tindakan undang-undang?

Kaki shopping online jangan lupa guna kod promo ini untuk diskaun terhebat. 

Bertindak ikut situasi

Tindakan yang boleh diambil bergantung kepada situasi. Antaranya yang sering berlaku adalah seperti berikut:

1. Barangan yang dibeli tidak sampai terus kepada anda atau tidak sama seperti apa yang dipesan

Langkah pertama yang boleh dibuat adalah menghubungi penjual berkenaan. Biasanya mereka akan memulangkan semula wang (refund

) atau mengganti dengan barang yang baru.

Bawa kes ke mahkamah adalah cara yang paling akhir. Ada beberapa perkara yang korang perlu tahu kalau kes dibawa ke mahkamah.

Transaksi jual beli yang berlaku adalah dinamakan kontrak. Dengan kata lain, ia adalah suatu perjanjian yang dikuatkuasakan oleh mahkamah. Aturannya adalah sama untuk pembelian barangan secara online mahupun offline.

Gambar hiasan

Jadi, sekiranya penjual bersetuju menerima wang sewaktu melakukan pembayaran, maka terjadinya satu kontrak di situ berdasarkan Seksyen 10 Akta Kontrak 1950:

“Semua perjanjian adalah kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak, untuk sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah; dan tidak ditetapkan dengan nyata di bawah peruntukan Ordinan ini bahawa ianya batal”.

Erti kata lain, sebagai pembeli korang perlu membayar seperti harga yang telah ditetapkan dan penjual pula harus memberi barangan setelah pelanggan membuat pembayaran. Jika pembeli tidak menerima atau barangan tersebut rosak, maka penjual dikatakan telah melanggar kontrak.

Apa jadi kalau penjual langgar kontrak?

Berdasarkan Seksyen 40 Akta Kontrak 1950, anda boleh membatalkan transaksi jual beli. Bahkan, dalam Seksyen 76 ada mengatakan bahawa korang boleh menuntut kerugian dengan mengambil tindakan saman ke atas penjual.

2. Sekiranya penjual silap menggambarkan produknya

Biasa dengar pembeli yang merungut tentang barang yang mereka beli tidak sama seperti apa yang dilihat di online website?

Dalam hal ni, korang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap si penjual. Dinasihatkan untuk mendapatkan refund atau menggantikan produk dengan produk yang baru terlebih dulu.

Gambar hiasan

Jika penjual itu didapati bertanggungjawab ke atas kesilapan tersebut, anda mempunyai pilihan untuk menamatkan atau meneruskan kontrak:

Menamatkan kontrak – Seksyen 34(1) Akta Relief Spesifik 1950 menyatakan bahawa kontrak boleh dibatalkan dengan cara penjual mengembalikan wang dan pembeli mengembalikan barangan yang dibeli seperti tidak berlakunya urusan jual beli tersebut.

Meneruskan kontrak – Seksyen 19 Akta Kontrak 1950 menyatakan bahawa jika anda memilih untuk meneruskan kontrak, anda mungkin akan beRhak untuk mendapat ganti rugi, jika mengalami apa-apa kerugian daripada transaksi tersebut. Anda boleh juga memaksa penjual untuk menggantikan pakaian yang telah dihantar itu.

Diingatkan sekali lagi bahawa membawa kes ke mahkamah adalah pilihan terakhir kerana biaya tuntutan mahkamah adalah mahal dan mengambil masa yang lama. Lagi-lagi kalau barangan yang dibeli tu tidak terlalu mahal, pasti buang masa dan duit kan?

3. Gunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)

a. Menyuarakan aduan ke Bahagian Pengurusan Pengguna supaya siasatan boleh dijalankan

b. Menyalurkan kes anda ke Tribunal Tuntutan Pengguna

Cara ini lebih berpatutan dan cepat jika nilai tuntutan kurang daripada RM25,000 dan tidak melibatkan peguam daripada kedua-dua belah pihak. Anda sendiri yang akan membicarakan kes anda di mahkamah dengan bantuan ahli Tribunal.

4. Buat laporan polis

Laporan polis yang dibuat boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah atau pun dengan Tribunal Tuntutan Pengguna. Pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan kepada penjual di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan yang menyatakan larangan perihal dagangan palsu.

Tapi kalau anda nak buat laporan tentang sesi online shopping yang kurang memuaskan tidak akan menerima sebarang tindakan daripada pihak polis kerana ia dianggap sebagai masalah awam, bergantung kepada keadaan.

Tak usah lagi pening kepala kalau ada yang jadi mangsa penipuan online. Ikut saja cara yang kami kongsikan ini dan moga ia bermanfaat buat semua.

Sumber: Asklegal

 

 

Published by
Noor Ain Norman