Teruk Dikritik Feminis : Miss World Kembalikan Segmen Pakaian Mandi Selepas 7 Tahun

Share

 

Pertandingan ratu cantik sememangnya sinonim dengan segmen melibatkan para pesertanya memperagakan pakaian mandi di hadapan khalayak ramai. Sekali-sekala demi menjaga kesopanan di mata penontonnya, peserta akan mengenakan pakaian atau aksesori tambahan seperti ‘robe’ dan kain pareo di bahagian pinggang.

Namun lain pula ceritanya dengan salah sebuah pertandingan ratu cantik terbesar dunia iaitu Miss World. Sejak 7 tahun lalu, Miss World telah mengenepikan segmen pakaian mandi untuk digantikan dengan segmen alternatif seperti persembahan bakat para pesertanya.

Semasa Miss World dianjurkan pada tahun 2013 iaitu tahun terakhir segmen pakaian mandi disertakan, para pesertanya dilihat sudah mula menyarungkan pakaian mandi yang lebih ‘tertutup’ seperti semasa pusingan ‘resort wear’ ini.

Perubahan tersebut dilakukan setelah penganjurnya, Julia Morley nekad mengambil alih penganjuran Miss World daripada mendiang suaminya, Eric Morley pada tahun 2000.

Langkah itu juga adalah demi memfokuskan kepada kebijaksanaan dan personaliti para peserta serta enggan meletakkan wanita sebagai objek tatapan umum. Malah satu ketika dahulu, Julia juga pernah berkata bahawa mereka tidak kisah dengan rupa fizikal peserta sekiranya ada yang lebih berisi berbanding ‘standard’ wanita yang pernah menyertai Miss World dalam edisi terdahulu.

“Kami bukannya ingin melihat bahagian punggung mereka. Kami ingin mendengar apa yang ingin mereka sampaikan.”

Memasuki ulang tahun penganjuran Miss World ke-70 pada bulan hadapan di Puerto Rico, nampaknya pendirian Julia Morley dan pasukannya itu telah berubah apabila segmen pakaian mandi akan kembali dipertandingkan!

Ramai pemerhati melihat keputusan ‘pusingan-U’ ini sebagai strategi Miss World untuk menarik semula minat orang ramai untuk menonton Miss World setelah rating program tersebut dikatakan semakin menurun dengan ketiadaan segmen pakaian mandi.

Megan Young dari Filipina yang memenangi Miss World 2013 masih dianggap sebagai salah seorang juara Miss World paling popular hingga ke hari ini.

Keputusan ini juga mungkin sekali adalah ‘PR stunt’ yang digunakan pakai Miss World bagi mendapatkan perhatian peminat memandangkan kalendar bulan Disember akan dipenuhi dengan penganjuran beberapa pertandingan ratu cantik lain seperti Miss Universe di Eilat, Israel dan Miss Grand International di Phuket, Thailand.

Khabarnya, reaksi orang ramai terhadap keputusan Miss World ini bercampur-baur. Dari satu sudut, kelompok feminis di United Kingdom dilaporkan memprotes dan mengkritik keputusan yang dilabel mereka sebagai satu langkah ke belakang. Ia langsung tidak mencerminkan keunikan dalaman wanita sedunia yang bertanding.

Juara semasa Miss World, Toni Ann Singh dari Jamaica.

Namun pada masa yang sama, ramai peserta dan peminat pertandingan ratu cantik menyambut baik keputusan ini kerana ia dianggap mereka sebagai sebuah segmen yang meraikan keyakinan golongan wanita. Bagi mereka, tiada siapa yang memaksa mana-mana pihak untuk menyertai Miss World. Justeru, negara yang menyertai seharusnya memilih wakil yang terbuka hati untuk menyarungkan pakaian mandi di atas pentas.

*

Jika korang masing ingat, ramai sebenarnya yang berharap agar wakil wanita daripada kaum Melayu dibenarkan menyertai Miss World Malaysia setelah segmen pakaian mandi ditiadakan sejak 2014. Tetapi dengan perkembangan terbaru ini, nampaknya impian itu kembali menjadi angan-angan saja.

Untuk pengetahuan, terdahulu wakil wanita Melayu yang pernah menyertai Miss World termasuklah Fazira Wan Che aka Erra Fazira (1992), Rahima Orchient Yayah (1994) dan beberapa lagi peserta lain sebelum itu.

Sumber : (1)

Published by
FZ