Selepas pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia akan berkuatkuasa selama dua minggu bermula esok, 18 Mac 2020.
Perintah kawalan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 dan antaranya adalah penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Maka dengan itu, TGV Cinema dan GSC telah pun mengesahkan bahawa premis mereka juga akan ditutup mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 bagi turut sama mengekang penularan virus COVID-19 yang semakin serius di negara kita.
Untuk korang yang telah membuat pembelian tiket secara online sebelum ini, bayaran semula akan dibuat secara automatic, manakala pembelian di kiosk atau kaunter tiket pula, korang diminta untuk menyimpan terlebih dahulu tiket tersebut sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Diharap inisiatif yang dibuat ini dapat membantu mengurangkan gejala COVID-19 dan semoga negara kita kembali pulih seperti dahulu. Masyarakat juga dinasihatkan untuk mengikut segala perintah kawalan dan jangan sesekali ingkar serta pentingkan diri sendiri.
Utamakan kesihatan, mari kita sama-sama berdoa untuk masa hadapan yang lebih baik.