Nampaknya Thailand antara negara Asia terawal yang bakal menerima pelancong asing dengan pengecualian kuarantin wajib bagi meningkatkan sektor pelancongan di negara tersebut. Thailand bercadang untuk mengecualikan kuarantin wajib kepada pelancong asing yang sudah divaksin apabila tiba di pulau peranginan Phuket bermula 1 Julai ini.
Menurut BERNAMA, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Phiphat Ratchakitprakarn berkata sekurang-kurangnya 70 peratus daripada penduduk di pulau itu akan diberikan suntikan vaksin.
‘Phuket Tourism Sandbox’ merupakan pembukaan pertama untuk pelancong yang divaksin sebelum memperluaskan ke destinasi pelancongan lain seperti Koh Samui, Pattaya, Chiang Mai dan Krabi.
Menurut Perdana Menteri Thailand, pelancong yang divaksin dan diuji negatif COVID-19 boleh mengunjungi Phuket tanpa perlu menjalani kuarantin wajib. Inisiatif ‘Phuket Tourism Sandbox’ ini kini sedang menunggu persetujuan kabinet.
Jika diluluskan, pulau peranginan itu akan dibuka semula tiga bulan awal berbanding wilayah lain. Thailand merancang untuk membuka semula pintu sempadan kepada pelancong asing yang sudah divaksin tanpa perlu kuarantin pada Oktober ini.
Wah, kalau macam ni mesti ramai yang tak sabar nak terima suntikan vaksin kan? Hiks!
Sumber: BERNAMA