Tentu ramai yang belum tahukan tetapi penulisan dan perkongsian seorang doktor Dr Kamilin Jazirin ini sememangnya amat bermakna. Beberapa hari lalu, Dr Kamilin Jamilin menulis di fbnya mengenai kisah seorang remaja perempuan yang daya hafalannya amat menakjubkan dan mampu memberi inspirasi kepada remaja di luar sana.
Baca perkongsiannya, semoga ada mafaat buat kita semua.
SAFIYYA: SERIKANDI YANG BERCAHAYA
Safiyya al-Fauzani (13 tahun), anak didik saya di Home Tahfiz Darul Siddir Shah Alam yang merupakan anugerah yang sangat berharga buat diri saya, keluarga, agama dan umat. Saya melihatnya sebagai salah satu dari tanda kekuasaan Allah yang sangat ajaib di atas muka bumi ini.
Mengapa saya mengatakan sedemikian?
Kerana belum pernah saya menemui anak remaja Malaysia yang mempunyai daya hafalan al-Quran dan hadis yang sangat menakjubkan seperti beliau.
Beliau digelar rakan-rakannya dengan gelaran “Thanos” watak terkuat dalam filem Marvel The Avangers. Barangkali kerana kehebatan prestasinya yang sukar dicabar.
Ada juga yang menggelarnya “The Computer” kerana kepantasan otaknya mengira serta mencari hafalan yang sukar pada masa yang sama bagai carian Google.
Barangkali ramai di luar sana sudah maklum akan sistem hafazan fotografik memori yang saya terapkan pada anak didik saya.
Hampir semua anak didik saya mampu melakukannya dengan baik, cuma yang membezakan prestasi masing-masing ialah kepantasan mencapai maklumat hafalan ditambah dengan kemahiran mengira ayat.
Namun dalam ramai-ramai pelajar yang saya latih, bahkan di kalangan pelajar yang saya pernah temui sejak dahulu hingga kini dari pelbagai institusi, belum pernah saya menemui pelajar yang memiliki daya memori menakjubkan seperti adik Safiyya al-Fauzani ini.
She is just too amazing!
Keupayaannya menghafal dengan pantas, dan kemampuannya mengingati hafalannya tidak akan mampu disangkal sesiapa yang pernah menemui dan menguji remaja istimewa ini.
Di Darul Siddir, beliau yang paling pantas menghafal dan paling kukuh hafalannya. Bukan sekadar kukuh, bahkan begitu terperinci sekali hafalannya. Beliau mampu mengingati ayat yang sama atau mengelirukan serta lokasinya dengan tepat dan pantas.
Kebiasaannya beliau akan menjawab sebelum soalan habis dibacakan!
Jika ditanya misalnya: “Sebutkan 140 ayat sebelum…”, sebelum kita sempat menyelak halaman mencari jawapannya, beliau telah selesai menjawabnya.
Jika ditanya misalnya: “Ada berapa ayat yang mengandungi kalimah sekian dalam 3 juz awal?”, beliau akan terus menjawab penuh selamba bilangan serta lokasinya.
Reaksinya yang sangat bersahaja cukup ‘menggeramkan’ rakan-rakannya.
Sangat jarang beliau memberikan jawapan yang kurang atau tidak tepat. Bahkan pernah seorang penyemak luar yang menyebut: “Saya tidak dapat menemui kelemahan Safiyya walaupun saya telah memberinya soalan yang paling sukar!”.
Cari sahaja “Safiyya Darul Siddir” di YouTube, atau videonya di Facebook saya “Kamilin Jamilin – Seni Hadith”, pasti para pembaca akan mengerti apa yang saya maksudkan.
Ramai barangkali akan menyangka bahawa adik Safiyya ini pasti genius orangnya dan orang lain tidak akan mampu menghafal atau mengingati sepertinya.
Tidak dinafikan faktor kecerdasan dan kesesuaian kaedah memainkan peranan penting terhadap prestasi pelajar, namun sepanjang pemerhatian saya dan para guru di Darul Siddir, Safiyya merupakan pelajar yang paling rajin.
Beliau akan selalu berusaha lebih dari apa yang sepatutnya dan belajar luar dari masa rasmi.
Beliau juga didapati membuat nota tersendiri yang menghimpunkan formula hafalannya dan sebarang perincian hafalan yang diperlukan.
Safiyya juga sering berasa risau dengan dirinya dan selalu bertanya kepada para guru tentang cara untuk mengatasi kekurangannya.
Beliau mempunyai dorongan yang sangat kuat untuk menjadi yang terbaik.
Justeru saya selalu berpesan kepadanya supaya jangan terlampau menekan diri. Safiyya perlu belajar untuk ‘kalah’ sesekali supaya Safiyya boleh menerima andainya suatu hari nanti Safiyya diuji untuk tidak berada di kemuncak.
Jika tidak, pastinya akan membawa tekanan yang berat pada diri andainya roda kehidupan berputar.
Alhamdulillah dengan tawfiq Allah, doa ibu bapanya serta bimbingan para guru, pada 9 Disember lalu, Safiyya berjaya merangkul Anugerah Darul Siddir 2018 (pelajar terbaik keseluruhan) dengan markah purata 96.8%, selain menggondol Anugerah Huffaz (pelajar al-Quran terbaik) dengan markah 98.5% dan Anugerah Muhaddith (pelajar Hadis terbaik) dengan markah 99%.
Safiyya juga memenangi hadiah Bacaan Terindah, hadiah Pelajar Paling Rajin, dan hadiah Penampilan Terbaik yang membuktikan kualiti pelajar ini.
Sejak tahun 2017 lagi, Safiyya telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang, iaitu dengan membolot Anugerah Hafazan al-Quran Terbaik dengan markah 97.5% dan Anugerah Hafazan Hadis Terbaik dengan markah 95%, serta beberapa hadiah lain seperti Pelajar Paling Rajin yang diperolehinya selama 2 tahun berturut-turut.
Ya, sejak 2017 lagi, belum ada sesiapa yang mampu ‘menewaskan’ hafalannya baik peringkat dalaman mahupun melalui persahabatan yang pernah dicuba dengan institusi lain.
Namun kini ada seorang rakannya di Darul Siddir yang semakin menghampirinya dan berjaya menggentarkan sedikit hati adik Safiyya yang hebat ini, iaitu adik Eeman Syafeez.
Semoga kesemua ‘permata’ ini berjaya menjadi pendakwah terbilang yang memberi manfaat buat agama, umat dan negara!
-Dr. Kamilin Jamilin-