Mungkin ramai di kalangan generasi millenial tidak tahu tentang penglibatan Datin Seri Umi Khalsum Rahmad Ali atau Umie Aida di dalam Pencarian Dewi Remaja 1990/1991. Ketika menghubunginya untuk menjalani sesi temu bual dan penggambaran ini, Umie Aida sendiri seakan terkejut dengan permintaan kami.
Mengimbau kembali kenangan yang sudah 28 tahun berlalu, Umie Aida ternyata masih cukup teruja bila berbicara tentang penglibatannya dalam pertandingan ini. Pada ketika itu, usianya baru mencecah 17 tahun dan mempunyai impian yang cukup besar untuk berjinak-jinak dalam industri dan menjadikan Pencarian Dewi Remaja sebagai sebuah platform.
“Seingat saya, penglibatan saya dalam Dewi Remaja disokong kuat oleh rakan senior saya, Azah Aziz yang juga merupakan peserta dalam edisi sebelum itu. Pada waktu itu, saya masih terlalu muda dan cukup berdebar apabila terpilih untuk menyertai pertandingan ini.
“Antara rakan-rakan yang sama batch dengan saya ialah Kuza, Irene Santiago, Jasmin Hamid dan Jasmine Dhillon. Dan pada masa itu juga, saya muncul dengan menggunakan nama Ermie Zura. Ramai yang tidak tahu mengapa saya menggunakan nama tersebut.
“Sebenarnya saya menggunakan nama itu kerana merahsiakan penyertaan saya daripada pihak keluarga dan juga sekolah. Ketika itu, saya baru berusia 17 tahun dan takut penyertaan saya diketahui oleh mereka. Kira masuk bertanding secara senyap-senyaplah. Rasa takut itu ada juga tapi disebabkan perasaan ingin mencuba itu terlalu tinggi saya ketepikan perasaan itu.”
Boleh kongsi sedikit tentang pengalaman menyertai Dewi Remaja.
Nak kongsi secara details pun sudah tak berapa ingat. Maklumlah sudah hampir 30 tahun lepas. Apa yang saya ingat, saya banyak dibantu oleh Azah Aziz yang membawa saya ke sesi fotografi. Dulu, setiap peserta akan menghantar profil mereka ke majalah REMAJA.
Kemudian, barulah beberapa orang peserta terpilih akan dipanggil untuk sesi penggambaran. Debaran pun tiba kerana kami terpaksa tunggu untuk keluaran bulan hadapan, barulah tahu siapa yang terpilih menjadi cover majalah.
Siapakah finalis yang paling rapat dengan Umie Aida dulu?
Boleh dikatakan kami memang rapat antara satu sama lain. Semua pun rasa sangat excited sebab berjaya menjadi finalis. Tapi yang saya inga, Irene Santiago dan Jasmin Hamid cukup rapat dengan saya sepanjang pencarian tersebut.
Bagaimana Dewi Remaja membantu bakat muda?
Iyalah, siapa tidak kenal dengan pertandingan Dewi Remaja. Namanya sahaja sudah cukup untuk meyakinkan sesiapa sahaja bahawa pertandingan ini merupakan antara platform terbaik untuk bakat-bakat baru.
Lihat sahajalah produk-produk yang lahir daripada pertandingan istimewa ini. Boleh dikatakan semuanya hebat-hebat belaka.
Nasihat untuk remaja yang berminat menyertai Dewi Remaja, tidak lama lagi.
Mudah saja, jadilah diri sendiri dan bersedia untuk belajar. Tanpa kesediaan untuk belajar banyak benda baru, sesiapa pun tidak akan ke mana. Industri ini mempunyai terlalu banyak selok-belok yang perlu mereka pelajari. Untuk remaja perempuan, inilah masa untuk merebut peluang mengetengahkan bakat kamu. Sekarang dengan adanya media sosial ia dapat menambah lagi platform untuk mereka ke hadapan. Berbeza dengan generasi dahulu yang hanya ada media elektronik dan bercetak sahaja.
Adakah Dewi Remaja perlu ada jiwa girl power?
Ya, semestinya. Golongan wanita terutamanya yang ingin menjadi Dewi Remaja harus ada jiwa perempuan kental seperti ini. Wanita harus berani. Berani untuk terima sesuatu yang baru dan melakukan perubahan. Jangan takut untuk keluar dari zon selesa demi menjadi seseorang yang lebih baik. Dengan tekad dan cita-cita, remaja seperti kamu semua boleh pergi lebih jauh dan berjaya dalam apa jua bidang. All the best girls!
GIRL POWER!