Hiburan

THSS: Aisha Retno Catat Markah Tertinggi Minggu Ke-6 Meski Mikrofon Tidak Berfungsi Lebih 20 Saat

Share

Penyanyi Sutera, tidak menjadikan insiden mikrofon tidak berfungsi di konsert minggu keenam The Hardest Singing Show sebagai penghalang untuknya terus melontarkan idea di luar kotak untuk setiap persembahan selepas ini.

Tambahan pula apabila Aisha, 23 berjaya mencatatkan pungutan markah tertinggi oleh juri sebanyak 81 peratus menerusi persembahan lagu Kurniaan Dalam Samaran nyanyian asal Dato’ Sri Siti Nurhaliza; meninggalkan saingan terdekat Aepul Roza (75.6 peratus), Putera Muhammad (75.32 peratus) dan Ayda Jebat (70.77 peratus).

Sementara itu, Stacy berada di kedudukan kelima dengan 70.46 peratus manakala Zizi Kirana pula di kedudukan terakhir dengan 66.29 peratus. Bagaimanapun, Zizi tetap berjaya mara ke saingan minggu hadapan setelah satu-satu grup yang menyertai program tersebut iaitu De Fam mengambil keputusan untuk mengundurkan diri akibat faktor kesihatan.

Bercakap kepada REMAJA selepas tamat saingan pada malam Ahad, Aisha bersyukur apabila usahanya pada minggu ini mendapat perhatian para juri terdiri daripada Edry Abdul Halim, Dato’ Sri Rossa, Zizan Razak dan juri jemputan, Datuk Ramli M.S. .

Namun, dia tidak menidakkan perasaan sedikit bercampur-baur akibat isu teknikal yang dihadapi lebih dari 20 saat sewaktu berada di pentas.

Aisha Retno

“Kita sebagai penyanyi lagi-lagi kalau masalah teknikal tiada suara itu, (perasaan) akan terus down secara jujurnya. Lagu ini cukup ‘besar’ dan bahagian yang hilang suara itu adalah bahagian klimaks yang cukup penting.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Kesilapan mungkin daripada diri sendiri dan saya minta maaf kalau bahagian klimaks tersebut tiada suara. Ada rezeki, saya akan bawakan lagu Kurniaan Dalam Samaran

ini dalam persembahan akan datang. Saya akan pastikan tiadakan masalah teknikal kerana saya suka sangat dengan lagu ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aisha Retno Pilih Ceburi Sukan Gimnastik Jika Bukan Seorang Penyanyi – REMAJA

Dalam pada itu, Aisha juga menghargai pemerhatian para juri terhadap usaha konsep persembahannya pada minggu ini walaupun dia mengerti masalah teknikal sebegini akan membuatkan markah dipotong dalam mana-mana pertandingan.

“Banyak stunt yang saya sudah lakukan seperti melompat, bermain skuter dan bermain air. Setakat ini, semua masalah teknikal adalah minumum sehinggalah ke minggu keenam ini.

“Apa yang boleh saya katakan, Allah hendak cakap jadi; jadilah ia. Aisha hanya boleh berusaha dengan lebih berhati-hati pada persembahan akan datang kerana mikrofon pun ada hadnya juga. Mikrofon tidak boleh ‘ikut’ kita ke mana-mana. Benarlah kata abang Edry bahawa saya perlu kawal persembahan saya dengan lebih baik,” ulasnya lagi.

BACA LAGI: Songstress of the Moment: AISHA RETNO Buka Cerita Kejayaan Sutera – Isu Digital Mac 2024 – REMAJA

The Hardest Singing Show minggu keenam membawakan tema Emosi Instrumentasi dan Aisha Retno memilih intrumen keyboard serta menjemput penyanyi, Sissy Imann serta Azmi Saat untuk bermain keyboard di atas pentas bersamanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ