Tiada Harapan Nak Melancong, Thailand Tidak Akan Buka Pintu Sempadan Sehingga 2021

Share

Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya bila agaknya kerajaan mula membuka pintu sempadan untuk kita ke luar negara. Namun begitu, rentetan daripada situasi COVID-19 yang melanda dunia, negara Thailand nampaknya tidak akan membuka pintu sempadan bagi pelancong antarabangsa sehinga tahun 2021.

Menurut Timbalan Gabenor bagi Perbadanan Pelancongan Thailand (TAT), Chattan Kunjara Na Ayudhya, masih belum ada perbincangan bila sempadan negara Thailand akan dibuka bagi tujuan pelancongan ketika membincangkan dalam mesyuarat mingguan nasional COVID-19.

Tambahnya lagi, kerajaan Thailand sangat berhati-hati untuk membuka semula sempadan negara dan mensasarkan Thailand tidak akan menerima kedatangan pelancong sekurang-kurangnya sehingga tahun 2021.

Hal ini memberi tekanan hebat kepada industri pelancongan Thailand dan menjelang sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina nanti juga mungkin akan terjejas kerana tiada kemasukan daripada pelancong luar.

Khabarnya, buat masa sekarang kerajaan Thailand hanya membenarkan individu seperti diplomat, pegawai Bangsa-Bangsa Bersatu, ahli perniagaan, pelabur, kru filem, filem asing, petugas pameran dan pemegang visa Thailand Elite.

Walau bagaimanapun, setiap individu dari luar negara yang memasuki Thailand perlu dikuarantin wajib selama 14 hari.

Hatyai, Thailand antara tempat tumpuan pelancong dari Malaysia

Hm, kalau ada yang dah mula berangan-angan nak ke Thailand tu, simpan dulu harapan korang tu ya. Hiks!

Namun begitu, kami rasakan ini adalah satu tindakan yang bijak. Biarpun, ia memberi kesan kepada industri pelancongan, tetapi setidak-tidaknya ini sebagai salah satu cara untuk mencegah wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Sumber: thethaiger.com

Published by
Noor Ain Norman