Tiada Isu Mogok, Staf & Syarikat J&T Mohon Maaf Akui Kesilapan

Share

 

Hati mana yang tidak terkesan apabila melihat nasib bungkusan barang yang dibeli oleh mereka secara atas talian dibaling begitu saja oleh para pekerja syarikat kurier.

ARTIKEL BERKAITANParcel Tak Sampai-Sampai, Wanita Ini Dedah Keadaan Gudang Syarikat Kurier J&T Kucar Kacir – REMAJA

Jika tidak lama dahulu, tular isu lambakan barang dan pemotongan komisen pekerja sejak PKP 2.0, semalam kecoh media sosial tempatan setelah satu video TikTok berdurasi 15 saat.

Video yang dimuat naik oleh salah seorang pekerja syarikat J&T Express bahagian Perak itu menunjukkan para pekerja J&T dipercayai melakukan tunjuk perasaan tidak puas hati di gudang syarikat itu dan bertindak membaling bungkusan pelanggan mereka. Malah, terdapat juga barangan bertanda fragile

yang menjadi ‘mangsa’.

Ia sekaligus menaikkan marah pelanggan J&T yang rata-rata tidak berpuas hati dengan nasib barangan mereka dan berpendapat ia sama sekali tidak profesional.

Bukan hanya pembeli yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka. Malah para penjual atas talian juga mengadu bahawa mereka terpaksa pula memberikan pampasan kepada pelanggan yang menjadi mangsa kejadian selama ini.

 

Permohonan Maaf Secara Terbuka

Setelah seharian berdiam diri selepas video tersebut tular, tujuh orang pekerja syarikat J&T Express bahagian Perak itu tampil ke hadapan dengan permohonan maaf di atas tindakan membaling barang pelanggan.

Menurut mereka, insiden itu tidak ada kena mengena dengan sebarang isu dalaman mahupun potongan gaji pekerja oleh syarikat seperti yang dispekulasi oleh warganet. Malah ia juga tidak tercetus daripada apa-apa tindakan mogok.

“Kami sekali lagi ingin memohon maaf kerana telah menjejaskan nama syarikat dan barang pelanggan rakyat Malaysia. Kami sedaya upaya akan proses dan hanyar barang pelanggan secepat mungkin,” jelas mereka. Pada akhir rakaman, mereka turut berjanji akan menghantar barang pesanan pelanggan secepat mungkin.

Biarpun penjelasan telah dibuat, ruangan komen menunjukkan rata-rata warganet tidak mempercayai dengan permohonan maaf yang dilakukan dan berpendapat ia seperti ‘terpaksa’.

 

Kenyataan Rasmi J&T

Biarpun para pekerja menidakkan kaitan insiden itu dengan masalah dalaman, syarikat J&T pula dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa ia berpunca daripada ketidak jelasan sistem pengagihan bonus di kalangan kakitangan jabatan.

Menurut mereka menerusi muat naik terbuka di Facebook, “Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang bekerja selama satu tahun dan binus dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun.

“Oleh kerana kurang jelas dengan sistem pengagihan bonus, ia menyebabkan pengagihan bungkusan secara ganas pada 4 Februari dan menghasut beberapa pekerja untuk membuat gangguan bersama dan menyebarkan video ke media sosial.

“”Kami meminta maaf atas kekurangan dalam pengurusan kami yang telah menyebabkan rasa tidak puas hati dari kerugian pelanggan kami. Kami akan memikul semua tanggungjawab yang harus kami pikul dengan cepat untuk meningkatkan standard

pengurusan dan perkhidmatan kami,” catat mereka.

Berikut merupakan paparan penuh surat berkenaan:

Untuk pengetahuan korang, sebarang tindakan dengan niat jahat mahu melupuskan atau memusnahkan, membuka, menyimpan, menahan atau menyembunyikan, melengahkan, mengabaikan atau salah serahan, mengusik atau menghalang mana-mana barang pos dalam perjalanan penyalurannya boleh dikenakan denda dan hukuman penjara di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012.

Bagaimanapun, Remaja merasakan rakyat Malaysia buat masa ini lebih mementingkan barangan mereka untuk selamat tiba ke destinasi berbanding apa-apa kenyataan yang dikeluarkan.

Published by
Nana