Kalau semalam penulis menceritakan tentang taraf pendidikan tiga calon Perdana Menteri Malaysia yang bakal merebut kerusi tersebut selepas dicalonkan oleh gagasan pasti politik masing-masing. Apa kata hari ini kita lihat pula kepada anak perempuan mereka yang juga popular dan dikenali ramai.
Ada yang mengikut jejak ayah mereka dan ada yang lebih selesa dengan pilihan kerjaya masing-masing yang jauh dari lensa politik. Tiga anak perempuan bakal Perdana Menteri Malaysia yang penulis maksudkan ialah Datin Nina Sabrina Ismail Sabri, Nurul Izzah Anwar dan Najwa Mahiaddin.
Datin Nina Sabrina Ismail Sabri
Datin Nina Sabrina binti Ismail Sabri atau lebih mesra disapa dengan nama Nina merupakan anak sulung kepada Perdana Menteri Malaysia kini, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob dan isteri kepada pereka fesyen dan usahawan terkenal, Datuk Jovian Mandagie. Walaupun bergelar anak kepadaa Perdana Menteri, Nina tidak menceburkan diri dalam dunia politik sebaliknya menumpukan perhatian kepada perniagaan yang dibina.
Merupakan graduan dari Universiti Lim Kok Wing dan The University of Queensland, wanita berusia 35 tahun ini merupakan usahawan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta kecantikan. Dia merupakan pemilik kepada Peterana Kindegarten dan salun Capello by Nina.
Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah mengikut jejak langkah bapanya sebagai ahli politik. Terkenal dengan gelaran Puteri Reformasi, wanita berusia 42 tahun ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional. Dia kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dari Johns Hopkins University.
Mula bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Nurul Izzah mengejutkan ramai pihak apabila dia mengalahkan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti ketika itu. Kemudian dia sekali lagi mencipta sejarah apabila mengalahkan veteran UMNO, Datuk Seri Utama Raja Nong Chik. Kini, ibu kepada dua cahaya mata ini merupakan ahli parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang dan akan bertanding di kerusi tersebut pada PRU ke-15 akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: Apa Taraf Pendidikan Bakal Perdana Menteri Malaysia? Ini Jurusan Yang Mereka Pelajari
Najwa Mahiaddin
Anak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ini merupakan seorang pengiat seni dan penyanyi. Dia yang dilahirkan pada 26 April 1986 mendapat pendidikan di Berklee College of Music. Terkenal dengan nada suara mendalam dan penuh mendayu, Najwa pernah diiktiraf sebagai Artis Baru Terbaik serta Lagu Terbaik (menerusi lagu Got To Go) di Anugerah Industri Muzik ke-18 pada tahun 2011.
Telahpun berkahwin, Najwa mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya, Idris Koh Keng Hui pada tahun 2015. Dia juga tidak mengikut jejak ayahnya melibatkan diri dalam dunia politik sebagaimana Datin Nina Sabrina Ismail Sabri.
Ketiga-tiga mereka fokus dalam kerjaya masing-masing dan paling penting berjaya dalam cara mereka tersendiri tanpa perlu bergantung kepada populariti sang bapa. Salute!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.