Tiada Masalah Jemput Tetamu Bukan Islam Ke Dalam Masjid Untuk Dengar Bacaan Al-Quran

Share

Memasuki tahun kesembilan penganjuran acara Malaysia #QuranHour, penganjurnya Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama rakan sinergi lain telah mengumumkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai lokasi perdana siara langsung, tahun ini.

Pemilihan masjid serba moden itu dilihat cukup bersesuaian memandangkan lokasinya yang strategik di antara Selangor dan Kuala Lumpur. Malah, lokasi yang lebih terkenal dengan gelaran Masjid Besi itu juga pernah menjadi tuan rumah kepada penganjuran acara Malaysia #QuranHour sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Puan Marhaini Yusoff berkata, tema yang dibawakan pada tahun ini memfokuskan kepada agenda anak muda dan peranan orang dewasa dalam membawa misi, “Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar”.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Puan Marhaini Yusoff.

Menariknya, penganjuran kali ini turut membuka pinta yang luas kepada semua tetamu untuk hadir sama bagi mengimarahkan majlis ilmu tersebut termasuklah tetamu yang bukan beragama Islam.

Menjelaskan kepada rakan media, Puan Marhaini berkata Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sangat berbesar hati untuk meraikan kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang.

“Kali ini, kami juga ingin mengundang secara terbuka pemimpin-pemimpin yang bukan Islam yang mungkin akan sama-sama mendapat hikmah atau ‘mutiara-mutiara’ daripada surah Al-Insan dan surah Al-Asr sebagai panduan terhebat.

“Bukan kata kita hendak mengIslamkan sesiapa tetapi jemputan ini adalah agar kita sama-sama boleh memahami formula Malaysia Berakhlak Mulia berdasarkan kitab suci. Kita pun hidup dalam negara yang sama, jadi eloklah kita untuk saling memahami,” katanya.

Dalam pada itu, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya iaitu Tuan Haji Nor Azamir Bin Haji Alias berkata, usaha untuk mengajak lebih ramai tetamu bukan beragama Islam ke dalam kompaun masjid atas dasar kesepakatan hidup bermasyarakat sentiasa disemat oleh pihak masjid dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

SEMUA ORANG dijemput hadir ke Masjid Tuanku Zainal Abidin Putrajaya bagi acara Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos 2023 bermula dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari

Jom sama-sama kita memahami intipati surah Al-Insan (Manusia) dan surah Al-Asr (Masa) menerusi topik utamanya, “Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar”.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ