Tiada Orang Bujang Di Syurga! Jangan Risau Tak Jumpa Di Dunia Sebab Jodoh Dah Tunggu Di Akhirat

Share

Ramai orang bujang risau dengan pertanyaan bila nak kahwin. Bila sebut perkataan kahwin, ada macam-macam perasaan timbul. Bengang, marah, rasa rendah diri termasuk lebih cliché makcik tolong carikan jodoh saya kalau ada anak bujang. Tak pun, paling rare bagi laki makcik pada saya. Hahaha.

Soal jodoh ini ramai kena faham. Ia sudah diatur oleh Allah SWT sejak roh kita di luh mahfuz lagi. Ada orang mungkin jumpa jodohnya tapi tak lama dan akhirnya bercerai. Itu tandanya pasangan itu bukan jodohnya.

Ada yang bahagia hingga ke akhir hayat. Sah itu memang jodohnya di dunia. Tapi kalau salah seorang berkahwin, misalannya isteri kahwin lain selepas kematian suami, di akhirat nanti, dia tak akan jumpa suami pertamanya kerana dia sudah ada tanggungjawab pada suami keduanya.

Apa pun cepat atau lambat jodoh kita, Allah yang sudah aturkan segala-galanya. Ia macam rezeki. Ada orang rezeki lebih dan kita tak perlu dengki atau iri hati sebab orang yang ada rezeki lebih itu ujiannya lebih. Allah nak tengok juga, adakah rezeki berlebihan itu digunakan ke jalan agama atau hanya pentingkan duanawi semata-mata. Kalau kaya bagai nak rak pun, mati nanti bawa kain kapan saja di mana semua harta ditinggalkan.

Berbalik pada soal jodoh, pada yang belum jumpa jodoh tu janganlah risau ya. Ini kerana selain jodoh korang belum lahir (hikz), jodoh korang sebenarnya dah tunggu di akhirat. Ini kerana menurut Ustaz Azhar Idrus tiada orang bujang di syurga (di dunia nie ramai sangat-sangat). Di dalam syurga nanti, Allah dah sediakan jodoh untuk korang berkasih sayang dan merasai nikmat suami isteri lebih indah dari dinikmati suami isteri di dunia.

Nah, korang bacalah pandangan dari Ustaz Azhar Idrus ini tentang tiada orang bujang di syurga.

TIADA ORANG BUJANG DALAM SYURGA

Soalan:-

Kalau seorang Islam itu di dalam dunia tidak berkahwin dan dia hidup membujang sampai ke akhir hayat adakah di syurga nanti dia juga tidak akan berkahwin?

Jawapan :-

Sesungguhnya di dalam syurga nanti setiap penghuninya akan memperolehi apa yang dia kehendaki maka begitu juga dengan pasangan. Setiap orang bujang yang masuk syurga akan berkahwin dengan pasangannya yang dia suka di dalam syurga.

Firman Allah Taala :
جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَاءُونَ كَذَلِكَ يَجْزِي اللَّهُ الْمُتَّقِينَ

Ertinya : “Segala kebun-kebun syurga ‘Adan itu semua orang beriman akan memasukinya. Syurga yang berlalu air di bawahnya dan di dalam syurga itu semua penghuninya memperolehi apa yang mereka kehendaki. Seperti inilah Allah membalas akan orang-orang yang bertaqwa.” (An-Nahl : 31)

Maka jelas Allah memeberitahu pada ayat ini apa sahaja yang disukai oleh penghuni syurga akan mereka dapat termasuklah isteri atau suami.

Setiap orang lelaki yang mati dalam keadaan bujang akan berkahwin di dalam syurga dan setiap perempuan yang bujang di dalam dunia akan berkahwin di dalam syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya :
قال أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ( وَمَا فِي الْجَنَّةِ أَعْزَبُ

Artinya : “Telah bersabda oleh Rasulullah saw : Dan tidak ada di dalam syurga hidup membujang.” (Hadith Imam Muslim)

Dan di riwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :
وَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ ، يُرَى مُخُّ سَاقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ ، مِنَ الْحُسْنِ

Artinya : “Dan bagi setiap ahli syurga itu dua orang isteri yang dapat dilihat bahagian dalam betisnya dari luar daging daripada terlaku cantiknya.” (Hadith Imam Muslim)

Maka terjawab sudah bahawa orang yang mati bujang di dunia ini akan berkahwin di dalam syurga nanti.

Jika sekiranya di dalam dunia ini dia tidak ingin mempunyai pasangan sekalipun pasti di dalam syurga tidak akan ada lagi perasaan tersebut dan dia akan berkahwin kerana bujang itu adalah kekurangan dan kekurangan itu tidak akan ada di dalam syurga.

KESIMPULAN
Syurga adalah tempat bersuka dan berseronok yang Allah janjikan bagi orang-orang mukmin. Antara perkara yang menyeronokkan ialah memilik segala yang indah dan cantik sebagaimana hidup di dunia.

Tidak ada seorang pun yang masuk syurga melainkan akan ingin mempunyai teman baginya menikmati keindahan syurga. Maka kerana itulah setiap ahli syurga akan mempunyai pasangan yang dengan pasangannya itu dia akan bersuka dan berseronok sepuas hati.
Suami isteri di dalam dunia akan menjadi suami isteri di dalam akhirat.

Orang yang bujang di dalam dunia akan mempunya isteri atau suami di dalam syurga.
wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Published by
Almaswa Haji Che Ros